TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC siasat 3 individu sebar berita palsu tarif elektrik

By
|
Kongsi
image

CYBERJAYA 1 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai peningkatan tarif baharu elektrik di platform Facebook, Threads dan WhatsApp.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kandungan tersebut dikesan menyalahgunakan elemen reka grafik rasmi agensi berita Astro AWANI bagi mengelirukan orang ramai.

Siasatan dijalankan selepas menerima aduan bahawa maklumat yang disebarkan adalah tidak benar dan sengaja disunting untuk menimbulkan persepsi negatif serta kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

"Hasil semakan mendapati kandungan tersebut telah disunting daripada kandungan rasmi Astro AWANI. Tindakan ini boleh mengakibatkan panik kepada orang ramai," jelas kenyataan itu.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan masyarakat dengan penyebaran berita tidak sahih.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada," tambahnya lagi.

Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk memuat naik kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.

+ - reset