TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mekanik maut rempuh van polis sedang membelok masuk stesen minyak

By
|
Kongsi
image

ROMPIN 2 April – Seorang mekanik dilaporkan maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah van milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan mangsa yang maut di tempat kejadian pada jam 7.20 malam itu dikenali sebagai Mohd Faizal Ismail, 38, yang menetap di Felda Selendang 1.

Siasatan awal mendapati van yang dipandu anggota polis berusia 26 tahun itu membawa lima lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin yang baru sahaja selesai menjalankan penugasan Ops Pangguni di daerah Maran.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila van PDRM berkenaan cuba membelok ke kanan untuk memasuki sebuah stesen minyak selepas memberikan laluan kepada beberapa kenderaan lain dari arah bertentangan.

Mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikal dari tempat kerjanya di Kampung Sepakat menuju ke rumahnya di Taman Nusa Puteri gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi sebelah kiri van tersebut yang sedang membelok.

Akibat pelanggaran kuat itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala kesemua enam anggota polis yang berada di dalam van tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

+ - reset