TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anthony Loke ziarah balu mangsa rempuhan pemandu mabuk, sampaikan sumbangan peribadi

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KLANG 2 April – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut selepas dirempuh seorang pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian tragis di Jalan Raya Barat, Ahad lalu.

Beliau menyampaikan sumbangan kewangan secara peribadi kepada balu mangsa, Nor Nadia Abdul Majid bagi membantu meringankan beban keluarga dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anthony Loke menzahirkan rasa simpati yang mendalam serta solidariti teguh bersama keluarga arwah yang kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang nilai wang ringgit yang mampu menggantikan kehilangan besar tersebut, namun berharap agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan yang tinggi untuk menempuhi dugaan ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa yang berusia 33 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sehingga tercampak ke atas sebuah kenderaan lain oleh seorang pemandu yang bertindak melulu.

Susulan insiden itu, seorang pemuda berusia 28 tahun telah pun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang semalam atas pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman amat berat.

Tertuduh, R. Saktygaanapathy yang dilaporkan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah kini berdepan kemungkinan hukuman mati atau pemenjaraan sehingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Langkah pendakwaan di bawah seksyen bunuh ini dilihat sebagai isyarat tegas pihak berkuasa terhadap pesalah jalan raya yang menyebabkan kematian akibat kecuaian melampau dan pengaruh bahan terlarang.

+ - reset