TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hukum rimba ganti kedaulatan undang-undang global, PM bidas sikap hipokrit kuasa besar

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 2 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran keras terhadap tindakan kuasa-kuasa besar yang didakwa mengamalkan sikap hipokrit dan "hukum rimba" sehingga menghakis kedaulatan undang-undang di peringkat antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa integriti sistem antarabangsa yang adil kini terancam apabila prinsip undang-undang sering dipergunakan secara terpilih demi kepentingan pihak berkuasa tertentu sahaja.

Menurut beliau, terdapat pergeseran nilai yang sangat membimbangkan apabila sesetengah pihak yang lantang memperjuangkan ketenteraman antarabangsa berasaskan peraturan, sebenarnya merupakan pihak yang paling gagal mematuhinya.

Kenyataan itu disampaikan dalam ucapan perasmian Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel 2026 di Universiti Malaya hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Anwar mengingatkan bahawa kredibiliti undang-undang antarabangsa amat bergantung kepada konsistensi dan tidak sepatutnya digunakan untuk melindungi satu pihak daripada akauntabiliti sambil menafikan hak pihak lain.

Beliau turut menyentuh cabaran baharu dalam profesion perundangan termasuk kebangkitan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan evolusi dalam pendidikan undang-undang bagi mendepani perubahan zaman.

Teguran sinis Perdana Menteri ini dipercayai merujuk kepada ketegangan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah sejak Februari lalu selepas siri serangan ketenteraan besar-besaran yang mencetuskan krisis keselamatan tenaga global.

Persidangan tersebut diharap dapat menjadi platform pertukaran idea yang bermakna bagi memastikan evolusi undang-undang sejajar dengan realiti dunia yang kini semakin kompleks dan mencabar.

+ - reset