TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan kaji keperluan industri media WFH dalam masa terdekat - Fahmi

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 3 April – Keputusan mengenai pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi industri media dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas melalui proses penilaian menyeluruh oleh kerajaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihak kementerian akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Media Malaysia (MMM) serta organisasi media sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurut beliau, antara aspek utama yang diberi perhatian adalah kebajikan pekerja dalam sektor media selain maklum balas industri berkaitan pelaksanaan dasar tersebut.

“Kedua, apa-apa maklum balas yang mungkin industri media punyai, khususnya berkait dasar BDR.

“Saya juga akan minta maklum balas Jabatan Penerangan Malaysia yang mengeluarkan kad perakuan media supaya kita boleh panjangkan kepada KPPA dan Kabinet dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar BDR melibatkan kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan dasar itu bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api selain memastikan kemampanan bekalan tenaga negara.

Antara syarat ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia termasuk jarak perjalanan melebihi lapan kilometer sehala dari rumah ke pejabat, selain melibatkan pegawai yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta ibu negeri lain.

+ - reset