TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Trump pecat Peguam Negara Pam Bondi, lantik bekas peguam peribadi jadi pemangku

By
|
Kongsi
image

WASHINGTON 3 April – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump secara rasmi memecat Peguam Negara, Pam Bondi pada Khamis selepas beberapa bulan hubungan antara kedua-dua pihak dilaporkan tegang.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump mengumumkan jawatan tersebut akan diisi secara interim oleh Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, yang juga merupakan bekas peguam peribadi beliau ketika berdepan pelbagai kes jenayah sebelum ini.

Pemecatan Bondi dikaitkan dengan kritikan hebat daripada penyokong Trump sendiri berhubung kegagalan beliau mengendalikan fail berkaitan kes pemerdagangan seks Jeffrey Epstein serta kegagalan mendakwa beberapa individu yang dianggap sebagai seteru politik Trump.

"Pam Bondi ialah seorang Patriot Amerika yang hebat dan rakan yang setia. Beliau telah menjalankan tugas yang luar biasa dalam membanteras jenayah di seluruh negara," kata Trump yang turut memaklumkan Bondi akan beralih ke sektor swasta.

Walaupun Bondi merupakan sekutu kuat Trump, beliau dilaporkan telah menimbulkan kemarahan Rumah Putih kerana gagal mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Pengarah FBI, James Comey dan Peguam Negara New York, Letitia James.

Bondi, dalam reaksinya di platform X, menyifatkan pelantikan beliau sebagai Peguam Negara sebelum ini sebagai satu penghormatan terbesar dan berikrar akan terus menyokong perjuangan Trump dalam kapasiti baharunya nanti.

Dalam pada itu, pemimpin Parti Demokrat menyambut baik pemecatan tersebut dengan Senator Elizabeth Warren menyifatkan tempoh perkhidmatan Bondi sebagai "lubang rasuah" (cesspool of corruption) serta menuduh beliau sengaja menyekat pelepasan fail sulit Epstein.

Menurut laporan The New York Times, Trump berkemungkinan akan menamakan bekas Ahli Kongres Republikan, Lee Zeldin yang kini mengetuai Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) untuk memegang jawatan Peguam Negara secara tetap.

Langkah drastik ini hadir hampir sebulan selepas Trump memecat Kristi Noem sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, sekali gus menunjukkan rombakan besar-besaran dalam pentadbiran beliau sedang giat dijalankan.

+ - reset