Berita Berita
Balu, anak mangsa 'rider' terima pencen PERKESO selepas tragedi dirempuh pemandu mabuk
SHAH ALAM, 3 April – Keluarga penghantar barang (p-hailing) yang maut dirempuh pemandu mabuk di Klang kini menerima jaminan kewangan berterusan apabila layak memperoleh Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, layak menerima manfaat itu kerana merupakan pencarum aktif di bawah skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Allahyarham yang juga pekerja di TVH Malaysia Sdn. Bhd selama 15 tahun merupakan pencarum aktif bawah skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan, sekali gus melayakkan waris menerima Pencen Penakat sebagai jaminan kewangan berterusan,” katanya pada sidang media sempena program Ziarah Prihatin di kediaman waris di Seksyen 16, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu di Jalan Raya Barat, Klang, mangsa maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mabuk.
Susulan itu, seorang lelaki, Saktygaanapathy Ravichandran, 28, didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret.
Allahyarham meninggalkan balu, Nor Nadia Abdul Majid, 32 serta tiga anak iaitu Muhammad Agif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7 dan Nur Humaira, 2.
Azman berkata, melalui pencen tersebut, balu akan menerima bayaran bulanan sepanjang hayat, manakala anak-anak layak menerima bantuan kewangan pendidikan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.
“Manakala anak-anak akan menerima bantuan kewangan pendidikan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama dengan jumlah faedah berjumlah RM2,888.17 setiap bulan,” katanya.
Selain itu, PERKESO turut menyalurkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 kepada waris.
“Kehilangan insan tersayang tidak dapat diganti, namun perlindungan sosial yang disediakan PERKESO mampu menjadi benteng penting dalam menjamin kelangsungan hidup waris.
“Caruman konsisten adalah asas kepada perlindungan ini dan dalam kes ini, ia menjadi penyelamat kepada masa depan keluarga Allahyarham,” katanya.
Tambah beliau, PERKESO komited memastikan penyaluran faedah dilaksanakan dengan cekap demi kebajikan waris.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya dan mengelakkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.
Beliau turut menggesa majikan yang belum berdaftar supaya segera mencarum pekerja di bawah skim perlindungan sosial, selain memaklumkan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 yang mula berkuat kuasa 31 Mac 2026, kini memberi perlindungan kepada lebih 1.64 juta pekerja gig di negara ini.
Berita berkaitan
April 3, 2026, 3:34 pm
Empat sekeluarga termasuk ibu kandung didakwa bunuh budak perempuan di Taiping
April 3, 2026, 3:09 pm
Polis mohon bantuan orang ramai kesan remaja hilang selepas tinggalkan rumah di Hulu Kelang
April 3, 2026, 12:33 pm
Subsidi nelayan RM1.65 seliter masih mencukupi, tidak wajar dipertikaikan – Pengerusi LKIM
April 3, 2026, 12:15 pm
Trump raikan serangan jambatan Iran, beri amaran 'lebih banyak akan menyusul'
April 3, 2026, 12:14 pm
Trump pecat Peguam Negara Pam Bondi, lantik bekas peguam peribadi jadi pemangku
April 3, 2026, 12:10 pm
Azalina saran tingkatkan hukuman pemandu mabuk, bangkitkan rasa gerun masyarakat
April 3, 2026, 12:03 pm
