TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

JSJ gempur 13 premis judi dalam Op Dadu Khas, 67 individu ditahan di Selangor, Sabah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 April – Polis menumpaskan aktiviti perjudian haram yang berselindung di sebalik lesen pusat hiburan dan e-sukan melalui pelancaran "Op Dadu Khas" di Selangor dan Sabah, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian D7 bermula 1 April hingga 2 April itu menyasarkan 13 buah premis perniagaan termasuk Pusat Hiburan Interaktif (PHI), Pusat Hiburan Keluarga (PHK), serta premis yang menyalahgunakan lesen e-sukan bagi aktiviti judi dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, serbuan di Selangor melibatkan lapan premis di Seri Kembangan dan Klang Utara, manakala lima lagi premis diserbu di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan, Sabah.

Di Selangor, seramai 52 individu berusia antara 20 hingga 75 tahun telah ditahan termasuk 26 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar yang bertindak sebagai penjaga premis serta pemain.

Hasil serbuan di negeri itu, polis merampas pelbagai peranti elektronik seperti 95 unit tablet, 17 unit komputer riba, 17 mesin simulator, serta wang tunai berjumlah RM9,873 yang dipercayai digunakan untuk tujuan pertaruhan.

Sementara itu, serbuan di Sabah menyaksikan penangkapan 15 warga tempatan bersama rampasan 38 unit komputer, tiga mesin simulator serta wang tunai berjumlah RM6,680 hasil daripada aktiviti haram berkenaan.

Siasatan awal mendapati sindiket menggunakan modus operandi dengan beroperasi tanpa lesen perniagaan atau lesen hiburan yang sah, selain menyalahgunakan permit sedia ada bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Kesemua suspek kini disiasat di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing yang didapati tidak mempunyai permit sah atau tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Polis bertegas akan meneruskan tindakan penguatkuasaan total terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram dan menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan tersebut.

+ - reset