TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

PKR Johor: Ramanan tegur tindakan kritik parti secara terbuka, gesa tumpu perpaduan dalaman

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 5 April – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan memberi amaran tegas agar ahli dan kepimpinan parti tidak membiarkan polemik dalaman melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta kestabilan blok pemerintah.

Menteri Sumber Manusia itu menekankan bahawa kekuatan sebenar PKR terletak pada disiplin jentera dan kesatuan hati, bukannya pada perdebatan terbuka yang hanya memberi ruang kepada pihak lawan untuk memanipulasi keadaan.

Beliau menegur tindakan segelintir individu yang kerap mengeluarkan pandangan kritikal terhadap hala tuju parti di luar saluran rasmi, yang dipercayai merujuk kepada kelantangan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kebelakangan ini.

"Ini bukan masanya untuk kita berbalas kenyataan di luar. Setiap perbezaan pandangan harus diselesaikan secara dalaman demi menjaga kekuatan parti. Kestabilan politik dan keyakinan rakyat perlu dipelihara, dan ia bermula dengan kesepaduan kita sendiri," tegas beliau.

Ramanan berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PKR Johor hari ini, yang turut dihadiri Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Teguran tersebut senada dengan kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa pada Jumaat lalu, yang menyifatkan tindakan menyuarakan isu dalaman secara terbuka boleh menjejaskan keharmonian serta kepercayaan anggota terhadap kepimpinan.

Dalam mendepani suasana ekonomi global yang tidak menentu, Ramanan menyeru seluruh jentera parti di Johor untuk memperkemas organisasi dan bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti.

Konvensyen tersebut menjadi medan penting bagi menyuntik semangat perjuangan anggota dengan mesej yang jelas bahawa kesetiaan kepada organisasi harus mengatasi kepentingan peribadi demi menjamin kemenangan masa hadapan.

+ - reset