Berita Politik
PKR Johor: Jawatan ketua cabang bukan jaminan jadi calon PRU – Anwar
JOHOR BAHRU 5 April – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas bahawa memegang jawatan sebagai ketua cabang, ketua wanita, mahupun ketua pemuda bukan merupakan jaminan automatik untuk dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau menegaskan tidak akan menandatangani watikah pelantikan calon sekiranya kekuatan di peringkat cabang masih belum cukup kemas dan gagal menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan dalam menghadapi pilihan raya.
Anwar menjelaskan bahawa kriteria utama pemilihan calon adalah berdasarkan dedikasi, komitmen kerja yang tinggi, serta kemampuan individu tersebut untuk memenangkan parti melalui sokongan padu di peringkat akar umbi.
"Tak perform di cabang, jangan buat tuntutan. Kita banyak pengalaman yang merajuk, nak bantah, nak keluar, itu semua kita sudah lalui. Keputusan akhir adalah kekuatan sokongan. Yang automatik jadi calon itu adalah mereka yang bekerja dan mampu menangkan parti," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora hari ini, yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengingatkan ahli PKR agar tidak terlalu selesa setelah berada dalam kerajaan, sebaliknya perlu terus bekerja keras memperkukuh sokongan bagi mempertahankan kedudukan sedia ada.
Beliau menekankan bahawa setiap ahli perlu menunjukkan contoh teladan yang baik dan keikhlasan dalam perjuangan, memandangkan parti tersebut dibina atas semangat reformasi yang penuh dengan cabaran sebelum mencapai tahap hari ini.
"Kita perlu ingat, bukan mudah untuk berada di kedudukan pada hari ini. Kita perlu persiapkan diri dan tunjuk contoh yang baik sebelum tibanya pilihan raya kerana kita perlu terus membina kekuatan untuk memutuskan masa depan negara," ujarnya lagi.
Konvensyen tersebut menjadi platform penting bagi PKR Johor untuk menyelaraskan gerak kerja jentera parti dalam memastikan kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi persaingan politik yang semakin mencabar di peringkat nasional.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 10:06 am
PH sasar sekurang-kurangnya 19 kerusi pada PRN Negeri Sembilan
July 31, 2026, 9:57 am
Aminuddin gesa calon PH bermunajat, mohon petunjuk jelang hari pengundian PRN
July 29, 2026, 11:15 am
Ramalan pilihan raya tidak bererti, pengundi penentu sebenar PRN Negeri Sembilan - Fahmi Fadzil
July 26, 2026, 4:17 pm
'Amaran Zahid tak dipeduli' – Chong Zhemin dakwa PAS sebenarnya kuasai BN-PN
July 26, 2026, 4:12 pm
Belum ada perbincangan berkaitan PRU – Zahid
July 26, 2026, 9:39 am
PRN Negeri Sembilan: Zahid tepis dakwaan Muhyiddin, yakin keserasian BN-PN kekal utuh
July 25, 2026, 8:39 pm
PRN Negeri Sembilan: RCI Tabung Haji tidak wajar jadi modal kempen
July 25, 2026, 8:36 pm
PRN Negeri Sembilan: Mohamad Hasan jangka PRU lebih awal
July 25, 2026, 3:18 pm
PRN Negeri Sembilan: Zahid yakin manifesto BN mampu pacu ekonomi negeri
July 25, 2026, 3:14 pm
