TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Timbalan Ketua Pengarah JAS didakwa lagi, mengaku tidak bersalah terima RM9,110

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 6 April - Seorang Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima bayaran berjumlah RM9,110 berkaitan kerja baik pulih rumahnya, empat tahun lalu.

Tertuduh, Dr Norhazni Mat Sari, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, beliau yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS didakwa menerima suatu benda berharga tanpa balasan, iaitu bayaran membaik pulih rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya daripada seorang pengarah syarikat pengurusan sisa berjadual.

Bayaran berjumlah RM9,110 itu didakwa dibuat oleh lelaki berusia 42 tahun melalui pindahan dalam talian ke akaun sebuah syarikat pembinaan di cawangan bank di Taman Sentosa, Klang pada 25 Mei 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 yang telah dikenakan terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu diguna pakai bagi kes ini.

Peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan berkenaan dan menetapkan kes dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Mei depan.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan Dr Norhazni Mat Sari turut berdepan enam pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan penerimaan wang berjumlah RM21,000 daripada syarikat sama, empat tahun lalu.

Bagi semua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa menerima wang tanpa balasan walaupun mengetahui pengarah syarikat berkenaan mempunyai hubungan dengan tugas rasminya, dengan bayaran dibuat melalui pindahan ke akaun bank milik anaknya di sebuah bank di Bukit Bintang pada 18 April 2022.

+ - reset