TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki 10 anak didenda RM8,000 kemuka maklumat palsu mohon kewarganegaraan anak

By
|
Kongsi
image

 

KUANTAN 6 April - Seorang buruh kontrak didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan maklumat palsu dalam cubaan mendapatkan taraf kewarganegaraan untuk anak perempuannya.

Menurut laporan Malaysiagazette, tertuduh, Mohd Sahal Sayadi, 58, turut berdepan hukuman penjara selama 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Pengakuan bersalah itu dibuat di hadapan Majistret, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa 10 anak itu merupakan pemastautin tetap didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu ketika membuat permohonan Pembetulan Maklumat Dalam Daftar Kelahiran anaknya yang kini berusia 16 tahun.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 30 September 2024 kira-kira jam 3.30 petang di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Mengikut fakta kes, maklumat palsu yang dikemukakan adalah dokumen Kutipan Akta Cerai dari Pengadilan Agama Bawean, Indonesia.

Bagaimanapun, hasil semakan pihak JPN Negeri Pahang mendapati surat pengesahan akta cerai warga Indonesia yang dikeluarkan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur tidak berdaftar.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya JPN, Fakhrol Anuar Sani manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

+ - reset