TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis cari penuntut IKM Pekan hilang sejak 30 Mac, bapa bimbang anak gagal dikesan

By
|
Kongsi
image

PEKAN 6 April – Pihak polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang penuntut Institusi Kemahiran Mara (IKM) Pekan, Muhammad Irfan Riduan, 23, yang dilaporkan hilang sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin memaklumkan bahawa laporan kehilangan mangsa dibuat oleh bapanya pada jam 3.05 petang hari kejadian selepas usaha menghubungi anaknya itu gagal.

Menurut Mohd Zaidi, kali terakhir bapa mangsa berhubung dengan anaknya adalah melalui panggilan telefon pada 30 Mac lalu. Bagaimanapun, bapanya terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak IKM bahawa Muhammad Irfan sudah tiga hari tidak menghadirkan diri ke kelas.

"Bapanya terus bertindak membuat laporan polis selepas gagal menghubungi serta mengesan keberadaan anaknya itu sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan butiran fizikal, Muhammad Irfan digambarkan berkulit hitam manis, berbadan kurus dengan berat kira-kira 70 kilogram dan ketinggian 160 sentimeter.

Selain itu, mangsa dipercayai menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran BLH 6332.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta segera menghubungi:

  • Pegawai Penyiasat, SM Siti Kamariah Tuman: 013-6432400

  • Pusat Kawalan Daerah (CCC) IPD Pekan: 09-4221222

  • Mana-mana balai polis berhampiran.

Kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi membantu pihak berkuasa mengesan mangsa dengan kadar segera demi keselamatan penuntut berkenaan.

+ - reset