TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Koperal tentera mengaku tidak bersalah cederakan tujuh rakan setugas

By
|
Kongsi
image

 

BENTONG 6 April - Seorang anggota tentera berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mencederakan rakan setugasnya dalam satu kejadian di kem tentera, termasuk melibatkan seorang mangsa yang dilaporkan kritikal.

Tertuduh, Sukry Tasu, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Aiman Azahan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai penjaga stor didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, di stor senjata Kompeni C, Kem Askar Batalion Ke-25, Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Bentong kira-kira pukul 8.30 pagi, 30 Mac lalu.

Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh selain syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Mohamed Hafiz Baharudin memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan pendapatan bersih anak guamnya hanya kira-kira RM1,800 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 serta memerintahkan tertuduh tidak mendekati kesemua mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin, 19; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Muhammad Syakirin Yaacob, 20; Mohammad Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Muhamad Danial Asraf Azizah, 22; dan Muhammad Azman Shah Ismail, 22.

Mahkamah turut membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan tersebut serta mengekalkan syarat supaya tertuduh tidak mendekati semua mangsa sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 18 Mei ini.

+ - reset