Berita Berita
Mahkamah Rayuan benar penangguhan semakan 40 peratus hasil Sabah
PUTRAJAYA 6 April - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah berkaitan semakan kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Menurut laporan Berita Harian, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Mohamed Zaini Mazlan bersama Ismail Brahim dan K Muniandy selepas berpuas hati bahawa wujud keadaan khas yang mewajarkan penangguhan diberikan.
Dalam keputusan yang dibacakan secara prosiding dalam talian, Mohamed Zaini berkata panel turut mendapati kerajaan akan diprejudiskan sekiranya penangguhan tidak dibenarkan.
"Sehubungan itu, kami membenarkan permohonan ini dan memberikan penangguhan pelaksanaan selaras dengan permohonan pemohon.
"Kami tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kerana pemohon tidak memohon sebarang perintah berhubung kos dalam permohonannya," katanya.
Sebelum ini, pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh berkenaan.
Mahkamah turut mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah menyemak semula kelayakan tersebut dengan tempoh 90 hari untuk melengkapkan semakan dan 180 hari bagi mencapai persetujuan muktamad.
Keputusan itu dibuat oleh Celestina Stuel Galid selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) bersama kerajaan negeri Sabah.
Dalam penghakiman hari ini, Mohamed Zaini berkata penangguhan perlu diberikan berikutan risiko ketidakpatuhan terhadap garis masa Mahkamah Tinggi memandangkan skop dan kerumitan pelaksanaan yang membebankan.
Beliau turut menyatakan bahawa perintah tersebut berkemungkinan tidak selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan mekanisme penyelesaian pertikaian.
"Untuk menguatkuasakan pematuhan perintah Mahkamah Tinggi itu dalam keadaan sedemikian, sebelum rayuan didengar, akan menafikan peluang pemohon (Kerajaan Persekutuan) untuk mengemukakan kesnya.
"Ia juga kelihatan bahawa Perintah Mahkamah Tinggi tidak selaras dengan peruntukan Perkara 112D. Sebagai contoh, pemohon diwajibkan membuat pembayaran sedangkan Perkara 112D menetapkan jika tiada persetujuan, ia hendaklah dirujuk kepada penilai bebas.
"Pemohon jelas akan terjejas sekiranya dipaksa mematuhi perintah mahkamah tanpa berpeluang untuk mengemukakan kesnya dalam rayuan itu kelak," katanya.
Tambah beliau, perintah berkenaan turut melibatkan implikasi kewangan serius kerana ia mewajibkan pembayaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dalam tempoh 180 hari.
Menurutnya, keadaan ekonomi global semasa serta keperluan menilai kedudukan kewangan kedua-dua pihak menjadikan garis masa tersebut tidak mencukupi.
"Pembayaran yang diperintahkan adalah dalam jumlah yang besar sehingga pelaksanaannya, sebelum rayuan diputuskan, akan mewujudkan suatu keadaan 'fait accompli'," katanya.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berniat melengah-lengahkan prosiding dan telah mengambil langkah mempercepatkan pendengaran rayuan.
Panel juga dimaklumkan bahawa kerajaan telah memulakan proses semakan dan mengadakan empat mesyuarat dengan kerajaan negeri, namun berdepan kekangan masa dengan tempoh 180 hari yang akan berakhir pada 15 April ini.
Sementara itu, hakim K Muniandy menolak hujahan responden bahawa permohonan sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu, dengan menegaskan Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa bebas sebaik sahaja notis rayuan difailkan.
" Seksyen 44 COJA memperuntukkan kuasa asal yang berdiri sendiri kepada mahkamah ini untuk mengeluarkan perintah interim bagi mengelakkan prejudis.
"Peruntukan ini bertujuan memastikan hasil litigasi kekal terpelihara sehingga merit kes didengar.
"Membuat pembayaran sekarang hanyalah pelaksanaan semata-mata, ia pada hakikatnya adalah pelaksanaan sebelum penghakiman," katanya.
Untuk rekod, Sabah Law Society memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Jun 2022 terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah berhubung isu tersebut.
Selepas melalui beberapa peringkat prosiding termasuk di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan, kes berkenaan kini berada di peringkat rayuan bagi menentukan merit utama.
Dalam prosiding itu, SLS diwakili peguam David Fung, Jeyan Marimuttu dan Janice Lim.
Kerajaan Persekutuan pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly bersama Nur Atirah Aiman Rahim dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.
Kerajaan negeri Sabah diwakili Peguam Besar Negeri, Brenndon Soh bersama barisan peguam negeri lain.
Berita berkaitan
April 6, 2026, 3:31 pm
Menang saman fitnah, Asyraf Wajdi salur RM50,000 ganti rugi ke Wakaf MARA bantu pelajar lain
April 6, 2026, 2:03 pm
Istana Johor sambut puteri sulung Tunku Ismail, cucunda ketujuh Yang di-Pertuan Agong
April 6, 2026, 1:52 pm
Koperal tentera mengaku tidak bersalah cederakan tujuh rakan setugas
April 6, 2026, 1:42 pm
Polis cari penuntut IKM Pekan hilang sejak 30 Mac, bapa bimbang anak gagal dikesan
April 6, 2026, 1:37 pm
Cuai sebabkan kematian bayi Qaseh Aulia, bekas pengasuh dipenjara 5 tahun
April 6, 2026, 1:33 pm
PM hargai jasa Karam Singh Walia angkat isu alam sekitar, zahir takziah buat keluarga
April 6, 2026, 1:32 pm
Perunding, bekas pengerusi kuil didakwa guna invois palsu RM50,000
April 6, 2026, 12:47 pm
