Berita Berita
Tak dapat peminjam, jiran pula jadi mangsa Ahlong kutip hutang
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR, 7 April – Kegiatan along kini dilihat semakin agresif apabila menggunakan taktik baharu dengan menyasarkan jiran peminjam bagi memberi tekanan psikologi supaya hutang dilangsaikan.
Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan (Malaysian Chinese Association) MCA Datuk Seri Michael Chong Ten Soo, along tidak lagi hanya menampal notis di rumah peminjam, sebaliknya turut menyerang rumah jiran dengan meletakkan poster, menyimbah cat, serta meninggalkan mesej ugutan.
Taktik ini bertujuan memalukan peminjam di hadapan komuniti setempat, sekali gus mencetuskan kemarahan jiran yang terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan tersebut.
Seorang mangsa, lelaki berusia 42 tahun dikenali sebagai Lee, mendakwa beliau dan keluarganya diganggu walaupun tidak membuat pinjaman tersebut.
Mangsa seorang jurujual dari Rawang, mendakwa menerima mesej melalui WhatsApp pada 21 Mac lalu yang mengandungi ugutan daripada individu tidak dikenali.
Mesej tersebut memaparkan maklumat peribadi termasuk nama ibu dan bapa saudaranya, namun alamat yang dinyatakan adalah milik jirannya.
Menurut mangsa, mesej berkenaan turut mengandungi ancaman
“Hutang bayar, jika tidak hubungi semula. Lain kali, kami bakar rumah kamu,” katanya.
Pada hari yang sama, jirannya memaklumkan bahawa rumah mereka telah disimbah cat merah, dengan pagar dan kenderaan turut menjadi sasaran vandalisme.
Siasatan lanjut mendapati bapa saudara mangsa, dikenali sebagai Chen Kong Weng, telah membuat pinjaman sebanyak SGD5,000 (kira-kira RM15,500) daripada along di Singapura.
Mangsa turut menjelaskan bahawa keluarganya sudah hampir sembilan tahun tidak berhubung dengan individu tersebut disebabkan masalah perjudian.
Malah, bapa saudaranya juga pernah membuat pinjaman dengan along kira-kira 10 tahun lalu.
Berikutan insiden itu, kedua-dua mangsa dan jiran telah membuat laporan polis pada 21 Mac di Balai Polis Rawang.
Sementara itu, satu lagi kes melibatkan seorang wanita warga emas, Madam Leong 73 tahun yang menjalankan perniagaan bateri.
Mangsa dipercayai meminjam daripada 45 along dengan jumlah keseluruhan mencecah RM530,000.
Walaupun sebahagian besar hutang telah dibayar, masih terdapat beberapa along yang terus menuntut bayaran tambahan sehingga dua kali ganda daripada jumlah asal.
Menurut sumber, terdapat kes di mana mangsa telah membayar lebih daripada jumlah pinjaman asal, namun masih dipaksa membayar lebih tinggi.
“Pinjaman sebanyak RM4,500 telah dibayar melebihi RM8,000, namun along masih menuntut bayaran tambahan,” jelasnya.
Malah, terdapat juga kes pinjaman RM4,000 yang dituntut sehingga RM8,000 walaupun telah dilunaskan sepenuhnya.
Menurutnya, mangsa terpaksa hidup dalam ketakutan dan bersembunyi bagi mengelakkan gangguan berterusan daripada along
Difahamkan, dalam tempoh kurang empat bulan, sebanyak 83 kes berkaitan along telah dilaporkan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM7.4 juta.
“Daripda jumlah tersebut, 69 ialah daripada golongan Cina dan selebihnya merupakan bangsa Melayu dan India,” jelas Michael
Kebanyakan kes didapati berkait dengan aktiviti perjudian, terutamanya perjudian dalam talian.
Pihak berkuasa kini sedang mengambil tindakan dan siasatan lanjut dijangka dijalankan di bawah kesalahan pemerasan dan penipuan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pinjaman dengan along dan sebaliknya mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan berlesen bagi mengelakkan menjadi mangsa.
Berita berkaitan
April 7, 2026, 4:24 pm
Ibu tunggal didakwa hantar komunikasi jelik hina Sultan dan dakwa jadi guru Agong
April 7, 2026, 4:20 pm
FAS cadang muka baharu terajui FAM, Shahril Mokhtar sifatkan masa terbaik pulihkan imej
April 7, 2026, 4:14 pm
Lelaki maut ditetak kumpulan bersenjata parang di Buntong
April 7, 2026, 4:10 pm
Dera anak kucing di dobi, penganggur menangis kena penjara 6 bulan
April 7, 2026, 2:11 pm
Tun Mahathir nafi jadi punca perpecahan, dakwa ahli UMNO enggan beralih arah ke Bersatu
April 7, 2026, 1:54 pm
