TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tiada siapa yang larikan diri' - Peguam dedah keluarga Tun Daim terus beri kerjasama penuh walau tiada waran tangkap

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 7 April – Tiada sebarang waran tangkap yang berkuat kuasa ketika ini terhadap individu terbabit dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin, susulan perintah penangguhan yang diberikan mahkamah.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili keluarga berkenaan, Nizamuddin Hamid, yang menjelaskan bahawa walaupun waran tangkap pernah dikeluarkan, ia kini tidak berkuat kuasa selepas permohonan di Mahkamah Tinggi ditolak dan digantung.

Menurutnya, perkembangan terkini melibatkan beberapa individu termasuk Aznidah, Amey dan Amin adalah sebahagian daripada siasatan berterusan SPRM yang bermula sejak Februari 2023 terhadap Allahyarham Tun Daim.

Bagaimanapun, beliau berpandangan siasatan tersebut tidak seharusnya diteruskan memandangkan tokoh berkenaan telah meninggal dunia.

“Tun Daim telah lama meninggal dunia. Pada November 2024, tekanan terhadap keluarga ini sepatutnya tidak diteruskan, dan pihak berkuasa perlu lebih berperikemanusiaan dalam melaksanakan tindakan seperti ini,” katanya.

Tambahnya, waran tangkap yang dikeluarkan turut melibatkan individu yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara, dan tindakan sedemikian berpotensi menjejaskan status akademik serta kehidupan mereka.

Sehubungan itu, pihaknya akan memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah berkenaan dalam masa terdekat, kerana menganggap alasan yang diberikan tidak berasas, walaupun tetap menghormati keputusan mahkamah.

Mengulas lanjut, peguam itu menegaskan bahawa dakwaan kononnya tiada kerjasama daripada anak-anak Allahyarham adalah tidak benar.

“Sepanjang masa, komunikasi sentiasa berlangsung. Kami mewakili mereka dan sentiasa berhubung dengan SPRM sehingga 4 April, termasuk memaklumkan kesediaan mereka untuk mengatur kepulangan bagi memenuhi keperluan siasatan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga telah mengemukakan beberapa cadangan bagi memudahkan proses siasatan tanpa menjejaskan komitmen akademik anak guam mereka.

Antara cadangan itu termasuk membenarkan mereka pulang ke Malaysia pada cuti musim panas pada Julai untuk memberi keterangan, atau merakamkan kenyataan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di luar negara seperti di London.

Beliau berkata, kaedah tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana pernah dilaksanakan dalam kes lain, termasuk rakaman kenyataan di luar negara seperti di United Kingdom dan Jakarta.

“Tiada siapa yang melarikan diri. Mereka berada di lokasi yang diketahui dan bersedia memberi kerjasama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan memfailkan permohonan waran tangkap sebagai tidak perlu dalam keadaan semasa.

 

+ - reset