TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu tunggal didakwa hantar komunikasi jelik hina Sultan dan dakwa jadi guru Agong

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 7 April – Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik yang menghina institusi diraja serta mendakwa dirinya sebagai guru kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh, Nurul Huda Mohd Bajuri, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, wanita itu didakwa menghantar kenyataan di aplikasi TikTok yang mendakwa dirinya adalah insan yang merupakan guru kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta para Sultan di Malaysia dengan niat mengganggu orang lain.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat penghantaran komunikasi jelik di laman Instagram miliknya yang dibaca di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Abdul Razak pada 27 Mac lalu.

"Kedua-dua hantaran tersebut dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun," lapor Pegawai Pendakwaan, Mohamad Afdhallan Syafiq Azmi.

Peguam tertuduh, Nurul Hidayah Mohammad Asri memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan seorang janda yang perlu menanggung seorang anak berusia 16 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 sebagai penasihat.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Sebelum ini, tular beberapa klip video memaparkan wanita berkenaan membuat kenyataan yang didakwa mengandungi ajaran menyimpang, termasuk mendakwa dirinya anak kepada Adam dan Hawa yang dihidupkan kembali sambil menjunjung al-Quran.

Hakim menetapkan 8 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pelantikan peguam dan serahan dokumen berkaitan.

+ - reset