Berita Berita
Lebih 870 peserta keracunan makanan, MCMC saman Sunway Lagoon RM1.8 juta
KUALA LUMPUR 15 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman berjumlah RM1.8 juta susulan dakwaan insiden keracunan makanan melibatkan ratusan peserta semasa acara hari keluarga di Sunway Lagoon tahun lalu.
Memetik laporan New Straits Times (NST), tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Januari lalu, dengan MCMC mendakwa berlaku pelanggaran kontrak serta kecuaian dalam penyediaan makanan sepanjang acara berkenaan.
Menurut pernyataan tuntutan, Sunway Lagoon telah dilantik sebagai penganjur acara hari keluarga yang berlangsung pada 4 Oktober dan dihadiri lebih 5,800 tetamu, termasuk kakitangan MCMC, ahli keluarga mereka serta wakil Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures.
Laporan NST menyebut, makanan luar tidak dibenarkan dibawa masuk pada hari kejadian dan semua hidangan makan tengah hari disediakan sepenuhnya oleh pihak pengendali taman tema tersebut.
Bagaimanapun, semasa acara berlangsung, seorang kakitangan MCMC dilaporkan memaklumkan kepada wakil Sunway Lagoon bahawa salah satu hidangan berbau kurang enak dan berasa masam, namun dakwaan itu didakwa tidak diambil tindakan sewajarnya.
Dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas acara, MCMC menerima laporan daripada peserta termasuk kanak-kanak yang mengalami simptom seperti cirit-birit akut, muntah, sakit perut dan demam, dengan lebih 870 individu dilaporkan terjejas.
Susulan kejadian itu, MCMC membuat laporan polis dan memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, yang kemudian mengarahkan penutupan bahagian makanan dan minuman Sunway Lagoon selama 14 hari bermula 7 Oktober bagi tujuan pembersihan serta pembasmian kuman.
Dalam saman berkenaan, MCMC menuntut pemulangan penuh bayaran sebanyak RM1.82 juta selain kos perubatan, ganti rugi serta pampasan lain termasuk dakwaan gangguan operasi dan kerosakan reputasi susulan insiden tersebut.
Kes berkenaan dijadualkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 April ini, dengan tumpuan kini terarah kepada penentuan liabiliti serta pematuhan standard keselamatan makanan dalam penganjuran acara berskala besar melibatkan orang awam.
Berita berkaitan
April 15, 2026, 12:06 pm
Mahkamah arah Anwar, kerajaan fail pembelaan saman peserta GARAH sebelum 21 Mei
April 15, 2026, 11:31 am
MTEN tetap hala tuju tangani krisis tenaga, fokus lindung rakyat dan bekalan negara
April 15, 2026, 10:49 am
Bot bawa hampir 280 etnik Rohinya tenggelam, puluhan dikhuatiri maut
April 15, 2026, 8:53 am
Dakwaan bekalan minyak putus tular di Marang, Shell mohon maaf terpaksa hadkan jualan
April 14, 2026, 5:05 pm
Dua lelaki maut selepas lori muatan ayam terbabas di Lebuhraya WCE
April 14, 2026, 4:56 pm
Lebih 200,000 Penjawat awam mula bekerja dari rumah esok
April 14, 2026, 4:48 pm
Bomba bantu keluarkan ibu jari bayi lelaki tersepit pada 'baby walker' di Klang
April 14, 2026, 4:42 pm
