TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MTEN tetap hala tuju tangani krisis tenaga, fokus lindung rakyat dan bekalan negara

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 April – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini menetapkan hala tuju strategik dalam mengurus krisis tenaga global yang semakin meruncing dan dijangka berpanjangan, dengan keutamaan diberikan kepada perlindungan kesejahteraan rakyat serta disiplin fiskal negara.

Kerajaan menegaskan pendekatan utama ketika ini adalah memastikan bekalan tenaga dan barangan asas kekal mencukupi agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas. Usaha tersebut digerakkan melalui peranan PETRONAS serta perancangan awal bagi menjamin kestabilan bekalan dalam bulan-bulan mendatang.

Dalam masa sama, langkah menampan kenaikan kos terus diperkukuh menerusi pemberian bantuan tambahan subsidi diesel kepada golongan pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan individu.

Selain itu, pengurusan permintaan turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga termasuk pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam yang bermula esok.

Kerajaan juga mempergiatkan operasi penguatkuasaan menerusi Ops Tiris bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.

Bagi jangka sederhana dan panjang, usaha peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu akan dipercepat sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu.

Dalam konteks itu, biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.

Pendekatan berkenaan dilihat mampu membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu pembangunan sistem tenaga baharu secara menyeluruh.

Dengan kekuatan asas industri dan kapasiti domestik sedia ada, langkah tersebut bukan sahaja berupaya menstabilkan bekalan semasa, malah memperkukuh daya tahan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

+ - reset