Berita Berita
Bot bawa hampir 280 etnik Rohinya tenggelam, puluhan dikhuatiri maut
DHAKA 15 April – Sebuah tragedi laut melibatkan ratusan migran tanpa dokumen terbongkar selepas sembilan individu diselamatkan di perairan Lautan Hindi, mendedahkan sebuah bot yang dipercayai membawa kumpulan itu telah tenggelam di Laut Andaman baru-baru ini.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik pihak polis, bot berkenaan membawa lebih 250 migran Rohingya dan Bangladesh yang berlepas dari kawasan pantai Cox’s Bazar.
Kejadian itu hanya diketahui selepas sebuah kapal Bangladesh menyelamatkan sembilan individu pada 9 April sebelum menyerahkan mereka kepada polis, kata Ketua Balai Teknaf, Saiful Islam.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan jumlah tepat penumpang di atas bot itu, hanya menyatakan jumlah yang terlibat “ramai.”
Daripada sembilan yang diselamatkan, enam dipercayai penyeludup manusia dan dipenjarakan, katanya.
Satu kes difailkan di Balai Polis Model Teknaf berhubung kejadian itu.
Menurut kertas pertuduhan, warga Rohingya dan Bangladesh dibawa secara haram ke Malaysia dengan bot, namun ia tenggelam akibat cuaca buruk.
Seorang mangsa terselamat etnik Rohingya, Rafiqul Islam memberitahu akhbar tempatan The Daily Star, kira-kira 280 orang berada di atas bot itu, termasuk 13 kru dan penyeludup.
Daripada jumlah itu, kira-kira 150 adalah Rohingya manakala selebihnya warga Bangladesh.
Rafiqul mendakwa, antara 25 hingga 30 orang meninggal dunia akibat sesak nafas dan kesesakan.
Bot itu akhirnya terbalik selepas dilanda ombak besar, katanya.
Sebelum ini, Pengawal Pantai Bangladesh memaklumkan sebuah kapal berbendera negara itu dalam perjalanan dari Chattogram ke Indonesia menyelamatkan sembilan individu berhampiran Kepulauan Andaman pada 9 April.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa, UNHCR dan International Organization for Migration (IOM) di Bangladesh menyatakan tragedi ini mencerminkan kesan buruk perpindahan berpanjangan serta ketiadaan penyelesaian jangka panjang bagi komuniti Rohingya.
“Kami menggesa komuniti antarabangsa untuk meningkatkan solidariti dan meneruskan pembiayaan bagi menyokong bantuan menyelamatkan nyawa untuk pelarian Rohingya di Bangladesh serta komuniti tuan rumah,” menurut kenyataan itu.
Bangladesh kini menempatkan kira-kira 1.3 juta Rohingya, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar pada Ogos 2017 dan tinggal di kem yang sesak di Cox’s Bazar.
Sejak itu, tiada pemulangan rasmi berlaku ekoran tentangan junta tentera Myanmar, menyebabkan komuniti Rohingya di Bangladesh semakin tertekan.
Keadaan ini turut memaksa mereka mengambil risiko perjalanan di laut berbahaya bagi menamatkan kehidupan sebagai pelarian.
— BERNAMA-ANADOLU
Berita berkaitan
April 15, 2026, 12:06 pm
Mahkamah arah Anwar, kerajaan fail pembelaan saman peserta GARAH sebelum 21 Mei
April 15, 2026, 11:31 am
MTEN tetap hala tuju tangani krisis tenaga, fokus lindung rakyat dan bekalan negara
April 15, 2026, 9:47 am
Lebih 870 peserta keracunan makanan, MCMC saman Sunway Lagoon RM1.8 juta
April 15, 2026, 8:53 am
Dakwaan bekalan minyak putus tular di Marang, Shell mohon maaf terpaksa hadkan jualan
April 14, 2026, 5:05 pm
Dua lelaki maut selepas lori muatan ayam terbabas di Lebuhraya WCE
April 14, 2026, 4:56 pm
Lebih 200,000 Penjawat awam mula bekerja dari rumah esok
April 14, 2026, 4:48 pm
Bomba bantu keluarkan ibu jari bayi lelaki tersepit pada 'baby walker' di Klang
April 14, 2026, 4:42 pm
