Berita Berita
Mahkamah arah Anwar, kerajaan fail pembelaan saman peserta GARAH sebelum 21 Mei
KUALA LUMPUR 15 April – Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Anwar Ibrahim, Kerajaan Malaysia serta lima pihak lain memfailkan pernyataan pembelaan pada Selasa sebagai jawapan kepada saman difailkan 11 peserta himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) sebelum tarikh pengurusan kes pada 21 Mei depan.
Peguam, Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili peserta GARAH selaku plaintif berkata, mahkamah menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nik Nur Amalina Mat Zaidan.
"Prosiding akan datang ditetapkan bulan hadapan iaitu lima minggu daripada tarikh prosiding ini," katanya kepada media.
Pada 16 Mac lalu, Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi bersama 10 individu lain yang ditahan semasa himpunan GARAH di kompleks beli-belah Sogo pada Februari lalu memfailkan saman tersebut.
Selain Gulab Jan, plaintif lain ialah Esma Hisham Zainul Nor, Mohamad Jamalee Basah, Hishammudin Abu Bakar, Monashofian Putra, Mohamad Shafiq Abdul Halim, Jurasmadi Pauzi, Mohammad Faizal Bakhari, Elza Nadiah Shaik Sulaiman, Baharin Mohd Tahir dan Iskandar Khoo Kuan Yiaw.
Mereka memfailkan saman melalui firma guaman Zainul Rijal dengan menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai defendan pertama hingga keempat.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kelima hingga ketujuh.
Pada 8 Februari lalu, media melaporkan seramai 19 individu ditahan termasuk dua yang direman bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan GARAH.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, tangkapan dibuat susulan perhimpunan ad hoc yang berlangsung tanpa kebenaran pihak polis atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun ditahan ketika perhimpunan berlangsung pada Sabtu.
Semua defendan diwakili Peguam Persekutuan, Muhammad Faris Haziq.
Berita berkaitan
April 15, 2026, 2:23 pm
9 pesalah buang sampah merata-rata jalani khidmat masyarakat bersihkan Bandar Tun Razak
April 15, 2026, 1:56 pm
Kerjasama Malaysia - China perlu buka peluang kerjaya, kemahiran untuk belia – Mordi
April 15, 2026, 1:35 pm
PETRONAS sahkan bekalan bahan api cukup hingga Jun
April 15, 2026, 11:31 am
MTEN tetap hala tuju tangani krisis tenaga, fokus lindung rakyat dan bekalan negara
April 15, 2026, 10:49 am
Bot bawa hampir 280 etnik Rohinya tenggelam, puluhan dikhuatiri maut
April 15, 2026, 9:47 am
Lebih 870 peserta keracunan makanan, MCMC saman Sunway Lagoon RM1.8 juta
April 15, 2026, 8:53 am
Dakwaan bekalan minyak putus tular di Marang, Shell mohon maaf terpaksa hadkan jualan
April 14, 2026, 5:05 pm
