TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PETRONAS sahkan bekalan bahan api cukup hingga Jun

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 April – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyaknya di negara ini kekal terjamin sehingga akhir Jun 2026, melanjutkan unjuran sebelum ini yang hanya sehingga Mei.

Dalam kenyataan hari ini, PETRONAS memaklumkan pihaknya terus aktif mengurus rantaian bekalan bagi memastikan keperluan bahan api mencukupi di semua stesen, susulan krisis tenaga global yang dipengaruhi konflik di Asia Barat.

“PETRONAS membekalkan kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api negara menerusi syarikat senarai awam miliknya, PETRONAS Dagangan Bhd.

“Jumlah selebihnya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, syarikat minyak dan gas negara itu turut mengulangi komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil serta boleh diharapkan kepada seluruh rakyat.

“Orang ramai digalakkan untuk membuat pembelian bahan api ini secara bertanggungjawab dan mengikut keperluan harian masing-masing serta mengelak daripada sebarang tindakan pembelian panik,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, penggunaan secara berhemah akan membantu memastikan semua pengguna terus mendapat akses kepada bekalan bahan api secara berterusan.

Pada 1 April lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan PETRONAS sedang membantu kerajaan dalam memastikan bekalan minyak dan gas negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.

+ - reset