TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerjasama Malaysia - China perlu buka peluang kerjaya, kemahiran untuk belia – Mordi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 April – Kerjasama strategik antara Malaysia dan China perlu diterjemahkan kepada peluang sebenar khususnya dalam aspek pekerjaan, pembangunan kemahiran dan mobiliti antarabangsa bagi generasi muda.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, dalam landskap global yang semakin mencabar, setiap dasar dan kerjasama perlu memberi manfaat langsung kepada golongan belia sebagai pewaris masa depan negara.

“Perkembangan hanya bermakna jika ia membuka peluang sebenar kepada generasi muda daripada prospek pekerjaan, pembangunan kemahiran hingga keupayaan mereka bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malaysia-China Governance and Cooperation Media Exchange sempena makan malam anjuran Malaysia Friends of Silk Road Club di Menara Affin di sini, malam tadi.

Menurutnya, dunia kini berdepan perubahan besar termasuk ketidaktentuan ekonomi, kemajuan teknologi pesat serta perubahan geopolitik yang memberi kesan kepada hala tuju pembangunan negara.

Katanya, Rancangan Malaysia Ke-13 memberi fokus kepada transformasi ekonomi, pendigitalan, pembangunan mampan serta pertumbuhan inklusif bagi memastikan negara kekal berdaya saing.

“Dalam konteks ini, kerjasama dengan rakan antarabangsa seperti China menjadi semakin penting, selaras dengan keutamaan pembangunan jangka panjang negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat keserasian antara RMK13 dan Pelan Lima Tahun ke-15 China khususnya dalam bidang inovasi, kemampanan dan peningkatan industri.

Namun, katanya, penyelarasan itu perlu diterjemahkan kepada hasil yang memberi impak kepada rakyat, terutama golongan muda.

Sehubungan itu, Mordi menekankan keperluan memperkukuh pembangunan bakat dalam sektor baharu seperti teknologi digital, industri hijau dan pembuatan maju.

Katanya, akses kepada latihan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat serta ekosistem yang menyokong keusahawanan belia perlu terus diperkasa.

“Belia hari ini memerlukan lebih daripada pendidikan akademik. Mereka perlu memiliki keupayaan digital, pemikiran inovatif serta keyakinan untuk berinteraksi merentas budaya,” ujarnya,

Dalam masa sama, beliau berkata, kerjasama Malaysia-China berpotensi besar dalam membuka laluan kepada belia melalui pendidikan, teknologi, keusahawanan dan pertukaran budaya.

Tambahnya, hubungan antara rakyat kekal sebagai asas penting dalam memastikan kerjasama dua hala terus mampan.

“Platform seperti Malaysia Friends of Silk Road Club memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan dan membuka ruang kerjasama, khususnya melibatkan belia,” katanya.

Beliau menegaskan kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian, kedudukan strategik serta ekonomi terbuka, namun potensi itu hanya dapat direalisasikan dengan generasi muda yang bersedia dan berdaya saing.

“Kerjasama antarabangsa perlu memastikan setiap inisiatif menyumbang kepada pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang kepada rakyat,” katanya.

+ - reset