TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Rakyat ada hak untuk tahu perkara sebenar' - Albert Tei tuntut campur tangan Agong dalam kes Azam Baki

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 April – Seorang ahli perniagaan, Albert Tei bertindak menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Memorandum tersebut menggesa tindakan diambil terhadap Azam berhubung kontroversi pegangan sahamnya serta dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersubahat dengan ahli perniagaan tertentu dalam memudahkan pengambilalihan korporat.

Tei mendakwa kerajaan gagal menangani isu berkenaan secara berkesan dan menegaskan rakyat berhak mengetahui perkara sebenar.

“Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai hak untuk tahu apa yang sedang berlaku.

“Jadi kita tidak ada pilihan lain - kita tidak tahu mahu merayu kepada siapa lagi. Sebagai rakyat Malaysia, kita melihat istana dan Agong sebagai saluran terakhir untuk mengadu.

“Hanya Agong yang boleh menyelamatkan negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada seorang pegawai polis di luar pintu pagar istana.

Dalam pada itu, Tei turut mempersoalkan tindakan pihak polis yang didakwanya tidak menyoal siasat mana-mana pegawai atau kakitangan kanan SPRM berhubung siasatan terhadap dakwaan ‘Mafia Korporat’.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan syak wasangka dalam kalangan orang awam selain mendakwa wujud unsur pilih kasih dalam siasatan.

Terdahulu pada 1 April, Ketua Unit Siasatan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid memaklumkan bahawa kenyataan telah dirakam daripada 41 individu, namun tiada melibatkan pegawai SPRM.

Sementara itu, SPRM menafikan sebarang penglibatan dalam dakwaan ‘Mafia Korporat’ yang sebelum ini dilaporkan oleh Bloomberg.

Tei, yang turut berdepan pertuduhan rasuah, turut menuduh pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melindungi beberapa ahli politik Sabah yang dikaitkannya dalam skandal berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar sebelum ini menafikan dakwaan tersebut pada November lalu dan menegaskan siasatan masih berjalan tanpa sebarang perkembangan baharu setakat ini.

Semalam, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata Putrajaya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang kemungkinan tindakan terhadap Azam berhubung isu pegangan saham.

Menurut beliau, kabinet telah memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar yang mempengerusikan jawatankuasa siasatan kes berkenaan.

Dalam kenyataan bertarikh 31 Mac, Shamsul memaklumkan bahawa prosiding siasatan terhadap pemilikan saham Azam telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 susulan pembentangan hasil penemuan jawatankuasa itu dalam mesyuarat kabinet pada 11 Mac.

Beliau dalam masa sama menafikan laporan Bloomberg yang mendakwa Anwar meminta jawatankuasa berkenaan menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan pegangan saham Azam.

+ - reset