TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cemerlang pacu hala tuju universiti, Naib Canselor UiTM raih anugerah kepimpinan pendidikan peringkat nasional

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 April – Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shahrin Sahibuddin menerima Malaysian Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang kepimpinan pendidikan tinggi.

Anugerah tersebut disampaikan sempena Malaysian Education & Learning Summit 2026 yang berlangsung di The Majestic Hotel Kuala Lumpur di sini, semalam.

Program berkenaan dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific dengan kerjasama Malaysian Association of Private Colleges and Universities serta National Association of Private Educational Institutions.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Rusmini Ku Ahmad.

Pengiktirafan itu diberikan atas peranan beliau dalam memperkukuh hala tuju institusi, memacu kecemerlangan akademik serta menyokong pembangunan pendidikan secara menyeluruh, termasuk melalui pendekatan kepimpinan inklusif dan inovatif.

Menurut Shahrin, kepimpinan dalam pendidikan tinggi perlu melangkaui tanggungjawab pentadbiran semata-mata.

“Kepimpinan dalam pendidikan tinggi adalah tentang mencipta impak yang melangkaui universiti, termasuk melahirkan individu yang berdaya tahan, beretika dan bersedia menyumbang kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan UiTM hari ini.

Di bawah kepimpinan beliau, UiTM terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara universiti awam terbesar di negara ini dengan memberi penekanan kepada tadbir urus, pembangunan bakat serta akses pendidikan tinggi yang inklusif.

Sementara itu, UiTM dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kepimpinan, tadbir urus serta impak institusi dalam pembangunan pendidikan negara.

Anugerah Malaysian Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award merupakan pengiktirafan kepada pemimpin pendidikan yang menunjukkan sumbangan signifikan dalam pembangunan sektor pendidikan, termasuk aspek inovasi, kepimpinan inklusif serta pembangunan bakat masa hadapan.

UiTM turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kepimpinan yang menyokong kemajuan, inovasi dan transformasi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara. 

+ - reset