Berita Berita
Nasran Omar dilantik Akauntan Negara baharu berkuat kuasa esok
PUTRAJAYA 16 April – Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Nasran Omar dilantik sebagai Akauntan Negara Malaysia (ANM) yang baharu berkuat kuasa esok.
Surat pelantikan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar semalam bagi menggantikan penyandang sebelum ini yang bersara.
Menurut JANM, Nasran mempunyai pengalaman lebih 31 tahun dalam perkhidmatan awam sejak mula menyertai sektor itu pada tahun 1994 sebagai Penolong Pengarah di Seksyen Piawaian Perakaunan.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Beliau mempunyai keahlian profesional The Malaysian Institute of Certified Public Accountants-CPA (M), Malaysian Institute of Accountant-C.A (M) dan The Chartered Institute of Public Finance and Accountancy-CPFA (UK),” menurut kenyataan itu.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk sebagai Bendahari Negeri Melaka serta di beberapa kementerian antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pendidikan.
“Maka, beliau mempunyai kepakaran dalam mengendalikan perakaunan dan kewangan sektor awam.
“Perkara ini termasuklah pengurusan akaun negeri, operasi perakaunan, pengurusan dana dan pengauditan, perakaunan forensik dan penyediaan penyata kewangan,” katanya.
Menurut JANM, Nasran juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Perkhidmatan Operasi Pusat dan Agensi (BPOPA) sejak 2023 hingga 2025, yang bertanggungjawab mengurus aliran tunai kerajaan serta menyediakan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, beliau amat memahami hal ehwal, isu dan cabaran dalam bidang perakaunan negara.
“Kewibawaan dan pengalamannya dalam kepimpinan perakaunan sektor awam terbukti apabila pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Akauntan Sektor Awam (PSA) dari tahun 2019 hingga 2023.
“Sepanjang tempoh ini, beliau juga menjadi ahli majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan pernah menganggotai pelbagai jawatankuasa di peringkat MIA seperti jawatankuasa penyiasatan, jawatankuasa kewangan Islam serta jawatankuasa digital, teknologi dan inovasi,” katanya.
Berita berkaitan
April 17, 2026, 11:20 am
Pemandu ugut bakar kenderaan selepas kantoi cukai jalan tamat 8 tahun
April 17, 2026, 10:50 am
Remaja maut kereta bertembung lori di Jalan Kota Tinggi-Kluang
April 17, 2026, 10:36 am
MCW puji kerjasama SPRM-Lembaga Seni Visual pelihara karya seni 1MDB
April 17, 2026, 10:32 am
JKM Pulau Pinang kesan ibu kandung Amanda Mikayla
April 17, 2026, 10:25 am
Kenaikan kos bahan api, KLM batal 160 penerbangan bulan depan
April 17, 2026, 9:39 am
