TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fahmi sedia ikut arahan PM jika gaji menteri perlu dipotong lagi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 April – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan kesediaan peribadinya untuk menerima sebarang keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pemotongan gaji Jemaah Menteri sebagai langkah penjimatan tambahan.

Beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut sememangnya pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, namun kata putus terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri berdasarkan keperluan semasa negara.

Fahmi turut mengingatkan bahawa sejak pembentukan Kabinet Kerajaan Madani pada Disember 2022, semua menteri telah pun menjalani pemotongan gaji sebanyak 20 peratus. Malah, dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri telah mengesahkan bahawa pemotongan 20 peratus itu dikekalkan bagi tahun ini.

“Memang selama ini sejak hari pertama lagi gaji kami telah pun dipotong,” katanya kepada media selepas menghadiri program Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaysia 2026 bertemakan ‘Tiga Serangkai Satu Solusi’ di sini, hari ini.

Kenyataan beliau menyusul selepas Anwar semalam menyatakan keterbukaan kerajaan untuk mempertimbangkan pemotongan gaji menteri sekiranya situasi ekonomi negara menjadi lebih meruncing akibat krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kadar gaji menteri di Malaysia ketika ini adalah relatif rendah berbanding tanggungjawab yang dipikul, dan pembayaran tersebut merupakan hak menteri selagi mereka menunjukkan prestasi kerja yang baik.

Isu ini mula mendapat perhatian selepas timbul cadangan serupa di Indonesia, di mana Menteri Kewangannya mencadangkan pemotongan gaji menteri sebanyak 25 peratus bagi membantu mengimbangi tekanan fiskal negara berkenaan.

+ - reset