Berita Berita
HRD Corp selesai penstrukturan semula, kini fokus pelaksanaan, perkukuh tadbir urus
KUALA LUMPUR, 17 April – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melengkapkan proses penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh dan kini beralih ke fasa pelaksanaan serta penyampaian, selaras dengan agenda MADANI dalam membangunkan tenaga kerja negara yang berdaya tahan.
Dilaksanakan sepanjang dua bulan lalu, penstrukturan itu merangkumi penyusunan semula tadbir urus, pengurusan dan operasi secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh integriti institusi serta mewujudkan struktur yang lebih jelas dan berakauntabiliti.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Shamir Aziz berkata, organisasi kini berada dalam jajaran yang lebih tersusun bagi menyokong hala tuju ditetapkan oleh Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara.
Beliau berkata, kepimpinan Ramanan memainkan peranan penting dalam membentuk momentum serta disiplin pelaksanaan ‘reset’ berkenaan, sekali gus mencerminkan pendekatan tersusun dalam menangani cabaran institusi yang kompleks.
Hala tuju tersebut turut mencerminkan penekanan berterusan terhadap pengukuhan tadbir urus, penambahbaikan penyampaian serta memastikan sistem latihan negara kekal relevan dengan industri dan berimpak tinggi di bawah kerangka MADANI.
“Reset telah selesai. Kita kini bergerak ke hadapan dengan disiplin, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan,” kata Shamir.
Di peringkat pengurusan, isu legasi hasil dapatan audit dan penemuan kawal selia sebelum ini sebahagian besarnya telah diselesaikan, dengan penyerahan kini dibuat kepada pihak berkuasa.
Penstrukturan organisasi turut melibatkan penempatan semula serta penyelarasan berdasarkan kompetensi dan fungsi pekerja. Bidang kritikal seperti perundangan, audit dan penguatkuasaan diperkukuh bagi meningkatkan tadbir urus serta pematuhan, manakala struktur operasi diperkemas untuk menambah kecekapan pelaksanaan.
Fungsi strategik juga disusun semula bagi memastikan fokus serta akauntabiliti organisasi terus dipertingkat.
Sebagai sebahagian daripada langkah penambahbaikan, HRD Corp memperketat kawalan terhadap tuntutan latihan dan penggunaan levi bagi memperkukuh pemantauan serta akauntabiliti. Sebelum ini, tuntutan boleh dibuat selepas latihan dilaksanakan termasuk pada hari sama, sekali gus mengehadkan pemantauan berkesan.
Di bawah prosedur operasi standard baharu, latihan hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan awal diperoleh dengan tempoh serta jangka pelaksanaan ditetapkan, membolehkan pasukan penguatkuasaan menjalankan pemantauan dan pengesahan aktiviti latihan secara lebih menyeluruh.
Dalam perkembangan sama, HRD Corp turut mengisi kekosongan kepimpinan utama termasuk pelantikan Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Operasi, selain mengetengahkan bakat dalaman ke jawatan kanan bagi memperkukuh kesinambungan serta prestasi organisasi.
Pada masa sama, HRD Corp telah melengkapkan perancangan bajet yang diluluskan Lembaga Pengarah termasuk peruntukan strategik bagi mempercepat keutamaan pembangunan tenaga kerja negara, dengan perincian lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Shamir menegaskan HRD Corp tidak lagi akan ditakrifkan oleh cabaran lalu, sebaliknya berdasarkan keupayaannya memberikan hasil dalam suasana mencabar.
“Kini, keutamaan kita adalah pelaksanaan untuk memberikan hasil, memulihkan keyakinan serta memastikan pekerja dan perniagaan Malaysia bersedia untuk menghadapi dan bertindak balas terhadap ketidaktentuan global yang semakin meningkat,” katanya.
Dengan tadbir urus yang diperkukuh, kepimpinan yang lebih mantap serta hala tuju jelas, HRD Corp kini berada dalam kedudukan untuk meningkatkan daya tahan tenaga kerja dan menyokong kesinambungan industri dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Berita berkaitan
April 17, 2026, 11:53 pm
ADUN Sentosa puji Pakej Daya Tahan RM131 juta, langkah proaktif perkukuh ekonomi Selangor
April 17, 2026, 7:37 pm
Dua beradik warga emas maut, kereta bertembung van di Kuala Kangsar
April 17, 2026, 7:32 pm
PM tegaskan pendirian Malaysia terhadap Israel dalam temubual bersama Sneako
April 17, 2026, 7:28 pm
MARA taja pengajian lepasan SPM yatim piatu, ringankan beban keluarga
April 17, 2026, 7:24 pm
FELCRA nafi kaitan dengan penemuan 26 tong bahan kimia di Jempol
April 17, 2026, 6:28 pm
KBS perluas akses pembangunan sukan belia di pedalaman Sarawak - Mordi
April 17, 2026, 3:21 pm
Malaysia utamakan kegunaan rakyat, pertimbang beri diesel pada Australia jika ada lebihan
April 17, 2026, 3:16 pm
