TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tunjuk contoh dulu' - Cadangan murid bersih tandas undang reaksi, NGO cadang mula di pejabat kerajaan dahulu 

By
|
Kongsi
image

 

GEORGE TOWN 21 April – Cadangan melibatkan murid sekolah membersihkan tandas sebagai latihan disiplin dan kebersihan mencetuskan pelbagai reaksi apabila sebuah pertubuhan mencadangkan agar pendekatan itu dimulakan terlebih dahulu di peringkat pejabat kerajaan sebagai contoh teladan.

Menurut laporan Malaysiagazatte, Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis berkata, usaha mendidik murid mengenai kebersihan bukanlah satu isu, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira peranan utama pelajar iaitu menimba ilmu di sekolah.

“Tidak ada masalah untuk dididik tentang kebersihan, tetapi ia perlu dilaksanakan dengan cara yang lebih seimbang.

“Jika matlamat dasar itu adalah untuk membentuk budaya kebersihan dan tanggungjawab, maka ia lebih wajar diperlihatkan terlebih dahulu oleh institusi awam supaya menjadi contoh kepada pelajar bahawa kebersihan adalah tanggungjawab semua,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, aktiviti gotong-royong masih boleh diterima sebagai pendekatan pendidikan nilai, namun tugasan berkala yang mewajibkan murid membersihkan tandas dilihat kurang sesuai dan dibimbangi boleh mengganggu fokus pembelajaran.

Beliau turut berpendapat tanggungjawab menjaga kebersihan tandas sepatutnya dikendalikan oleh pihak sekolah melalui perkhidmatan pembersihan khusus yang terlatih, seperti amalan di kebanyakan institusi dan organisasi lain.

“Kebersihan sekolah sepatutnya diuruskan oleh petugas pembersihan bagi memastikan persekitaran sentiasa terjaga,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, semua murid perlu dididik untuk menjaga kebersihan termasuk membersihkan tandas di sekolah.

Tegas beliau, amalan itu tidak wajar dipertikaikan kerana ia boleh dilakukan oleh murid tanpa perlu mengira latar belakang keluarga dan kelas dalam masyarakat.

Beliau juga menyifatkan tugas itu bukan sesuatu yang rumit untuk dilakukan dan mahu semua ibu bapa memberi kerjasama, sekali gus melatih anak-anak dalam menilai semua tugas dan kerja.

“Jangan dianggap itu kerja tukang cuci, tukang bersihkan, jadi (seolah-olah) dia macam mengesahkan ada kelas dalam masyarakat,” katanya.

+ - reset