TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis pijak kepala orang awam: 'Jangan hukum dengan lihat video pendek sahaja' - Saifuddin

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 21 April – Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak hanya berdasarkan rakaman video pendek berhubung insiden tular membabitkan seorang anggota polis dan suspek di Kulim, Kedah.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata video yang tersebar di media sosial itu hanya memaparkan sebahagian kecil kejadian tanpa memberikan gambaran penuh situasi sebenar.

"Yang kita tengok itu tempohnya sangat singkat, namun sebelum itu bagaimana? Sebelum itu, adakah subjek yang ditahan bertindak agresif? Adakah dia menggerakkan motosikal melawan arus? Adakah berlaku insiden dia melanggar kenderaan polis?

"Saya bagi beberapa tip, beberapa ‘hint’,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial memaparkan kejadian membabitkan anggota polis dan seorang suspek.

Dalam rakaman tersebut, seorang suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya telah mengarahkan Ketua Polis Kedah untuk menyegerakan siasatan bagi meneliti sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam insiden itu.

Menurutnya, sebarang tindakan lanjut termasuk kemungkinan merujuk kes kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) hanya akan diputuskan selepas siasatan lengkap dijalankan.

“Kalau pada akhir siasatan itu menunjukkan ada keperluan untuk menggerakkan JIPS bagi menilai sama ada terdapat pelanggaran SOP atau tidak, saya perlu meneliti semua aspek. Tidak boleh membuat tindakan semberono.

"Itu akan merentap semangat anggota polis ketika menjalankan penguatkuasaan kerana suspek kadangkala bersikap agresif," ujar beliau.

+ - reset