Berita Berita
Taktik cuci duit guna perniagaan 'money changer' terbongkar, 19 ahli sindiket dadah ditahan dengan nilai rampasan RM14.15 juta
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR 21 April – Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan perniagaan penukaran mata wang asing sebagai helah untuk ‘mencuci’ wang haram susulan penahanan 19 individu dalam operasi bersepadu pada 16 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan tujuh wanita iaitu lima warga tempatan serta dua warga China berusia antara 24 hingga 48 tahun dalam operasi di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan bernilai RM4.9 juta dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan dadah.
"Serbuan pertama dilakukan di sebuah apartmen di Taman Wahyu di sini dan membawa kepada penahanan dua suspek.
"Hasil serbuan itu, pelbagai jenis dadah terdiri pil ekstasi seberat 0.89 kilogram (kg), ketamin (0.69 kg), Erimin 5 (0.46 kg) dan serbuk MDMA (6.5 kg), selain peralatan memproses dadah dirampas.
"Susulan itu, beberapa lagi serbuan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Kepong yang membawa kepada penahanan suspek lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Hussein berkata, satu lagi serbuan turut dijalankan di sebuah apartmen di Kepong sebelum merampas 31 kg ketamin dan erimin 5 (3.8 kg).
"Polis percaya sindiket itu aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan apartmen sebagai lokasi menyimpan dan memproses dadah sebelum diedarkan ke pasaran Lembah Klang.
"Siasatan mendapati suspek ke-12 bertindak sebagai ketua sindiket manakala suspek ke-10 sebagai pembantunya. Beberapa suspek lain berperanan sebagai penjaga stor dan 'runner'," katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, jumlah rampasan dadah adalah 31.8 kg ketamin, 4.2 kg Erimin 5, 0.89 kg pil ekstasi dan 6.5 kg MDMA dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.1 juta.
"Turut dirampas 18 buah kenderaan mewah antaranya Rolly Royce Cullian Black Badge, Porshe Tayxan 4S, Mercedes Benz AMG dan lain-lain.
"Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM14.15 juta dan dadah yang dirampas dipercayai mampu menjejaskan kira-kira 151,000 pengguna," katanya.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah manakala semakan rekod mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
"Empat suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 April manakala tujuh lagi diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
"Lapan suspek lain dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan," katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
April 21, 2026, 9:26 pm
Melaka sah laksana PRN tahun ini, tiada asas untuk tangguh - Ab Rauf
April 21, 2026, 7:54 pm
Timbalan Pengerusi NGO antara tiga ditahan disyaki seleweng dana zakat RM230 juta
April 21, 2026, 4:05 pm
Insiden kekasaran di Kulim: Anggota polis ditukarkan ke bahagian pentadbiran
April 21, 2026, 4:01 pm
Pandu mabuk dan langgar lampu merah, wanita dipenjara sehari, denda RM13,000
April 21, 2026, 3:56 pm
Warga emas maut dirempuh lori ketika lintas jalan di Dengkil
April 21, 2026, 3:51 pm
KDN teliti isu dokumen mangsa kebakaran Sandakan, utamakan warganegara
April 21, 2026, 3:46 pm
Anwar bakal umum langkah tambahan bantu siswazah menganggur
April 21, 2026, 2:20 pm
