TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Terpedaya tawaran gaji RM12,000 sebulan, rakyat Malaysia kini terkurung di 'neraka scam' di Myanmar

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 22 April — Impian untuk mengubah nasib dengan gaji lumayan bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang pemuda Malaysia berusia 24 tahun apabila dia dipercayai terperangkap dalam sindiket penipuan antarabangsa di Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim berkata Kelvin merupakan anak kepada seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Amy.

“Kelvin dilaporkan tidak ada komunikasi bersama Amy sejak Oktober 2025 sebelum akhirnya berjaya menghubungi keluarganya pada 7 April lalu dengan pengakuan dia kini dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di sebuah pusat penipuan di Shwe Kokko, Myanmar," katanya.

Menurut Amy, anaknya sebelum ini hanya bekerja secara sambilan di Selangor dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Namun, tawaran kerja di kasino Thailand dengan gaji mencecah RM9,000 sebulan serta komisen sehingga RM12,000 telah mengaburi mata anaknya.

Kelvin dilaporkan diterbangkan ke Bangkok sebelum dibawa menaiki van selama berjam-jam, bertukar kenderaan beberapa kali, dan akhirnya dibawa ke kawasan sempadan.

“Tanpa disedari, dia telah diseludup masuk ke Myanmar,” ujar Hishamuddin.

Dalam mesej yang dihantar kepada ibunya, Kelvin menceritakan detik cemas apabila dia mula menyedari sesuatu tidak kena.

“Saya nampak lokasi telefon menunjukkan Myanmar.

“Bila saya tanya, mereka terus pukul saya, menutup kepala dengan kain hitam dan rampas telefon serta pasport,” tulisnya dalam mesej tersebut.

Dia kemudian dibawa ke sebuah kawasan yang digelar “taman larangan” sebelum dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ yang menyasarkan mangsa dari China.

Lebih menyayat hati, Kelvin mendakwa dia dipukul dan diugut dengan renjatan elektrik jika tidak mengikut arahan.

“Saya cuba melawan, tapi akhirnya saya akan dikurung dan ada pengawal di luar pintu saya setiap masa,” katanya lagi.

Kelvin juga terpaksa bekerja menipu mangsa dengan mempromosikan pelaburan palsu dan merekrut orang untuk bekerja.

Pihak MHO mendedahkan bahawa Kelvin bukan satu-satunya mangsa.

Sebelum ini, seramai 22 rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan dari kawasan sama, namun dianggarkan sekurang-kurangnya lima lagi masih terperangkap termasuk Kelvin.

Usaha sedang giat dijalankan untuk berunding dan membawa pulang mangsa yang masih berada di sana.

Kes ini sekali lagi menjadi peringatan tentang bahaya tawaran kerja luar negara yang terlalu indah untuk dipercayai.

Sindiket pemerdagangan manusia kini semakin licik, menggunakan janji gaji tinggi untuk memerangkap mangsa sebelum memaksa mereka terlibat dalam aktiviti jenayah.

Bagi Amy, harapannya kini hanya satu untuk melihat anaknya pulang dengan selamat.

“Saya cuma nak anak saya balik. Itu saja,” katanya dalam nada sebak.

+ - reset