TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM beku akaun bank Padini, anak syarikat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank milik Padini Holdings Bhd (Padini) serta anak syarikatnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut peruncit pakaian itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, akaun terbabit dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

"Syarikat ini sedang membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan, dan akaun yang terjejas tidak digunakan secara aktif untuk operasi harian kumpulan itu," kata Padini.

Kumpulan itu juga mempunyai akses kepada kemudahan perbankan lain bagi menyokong operasi harian perniagaannya yang berterusan.

"Berdasarkan maklumat yang ada pada masa ini, lembaga pengarah berpendapat bahawa pembekuan akaun-akaun terbabit dijangka tidak akan memberi impak kewangan dan operasi secara material kepada kumpulan itu," katanya.

Menurut Padini, syarikat itu sedang mengambil langkah yang perlu untuk berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan memberikan kerjasama penuh untuk membantu siasatan.

+ - reset