TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 April - Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa 13 Mei ini bagi menerajui usaha pembanterasan rasuah negara.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim ke jawatan berkenaan selepas cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau menggantikan Azam Baki yang tamat kontrak pada 12 Mei ini.

"Saya ingin memaklumkan bahawa pada semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Sri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya (SPRM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, Abdul Halim akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara.

Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.

Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini," titahnya di Facebook.

Gantikan Azam Baki

Nama Azam menjadi perhatian dalam landskap tadbir urus negara, khususnya dalam konteks peranan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana sepanjang perkhidmatannya beliau dikaitkan dengan pelbagai usaha memperkukuh agenda antirasuah negara.

Namun, pada masa sama beliau turut berdepan beberapa dakwaan yang turut mencetuskan perbahasan awam.

Dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, Azam memulakan kariernya bersama Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984.

Beliau mula memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 5 Mei 2020, menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan Anwar Ibrahim.

Sepanjang kariernya, beliau menjadi penggerak dan perancang utama bagi membanteras beberapa siri jenayah rasuah berprofil tinggi.

Antara kes yang mengejutkan negara yang dikendalikannya adalah Ops Water Gate yang membawa penemuan lebih RM50 juta di Sabah pada 2016; skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Pelopor kaedah sistem pelucutan hak harta

Azam juga adalah pelopor kepada kaedah sistem pelucutan hak harta dengan menggunakan Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2010 (AMLATFPUAA).

Namun, kepemimpinan Azam tidak terlepas daripada kontroversi, termasuk dakwaan berkaitan pemilikan saham yang menjadi perhatian umum seperti dilaporkan media antarabangsa.

Isu terbabit telah mencetuskan perdebatan mengenai aspek integriti dan tadbir urus dalam kalangan pemegang jawatan tinggi institusi penguatkuasaan.

Susulan dakwaan berkenaan, beberapa pihak menuntut penjelasan serta ketelusan dalam proses siasatan bagi memastikan keyakinan awam terhadap SPRM tidak terjejas.

Malah, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Bagaimanapun, sehingga kini hasil laporan jawatankuasa terbabit masih belum didedahkan kepada umum.

Terdapat juga gesaan beberapa pihak supaya penjelasan rasmi diberikan berhubung dakwaan berkenaan bagi meredakan keraguan awam serta mengukuhkan keyakinan terhadap kepimpinan SPRM.

Di bawah kepemimpinannya juga, SPRM terpalit dengan dakwaan mafia korporat membabitkan seorang ahli perniagaan, namun Ketua Pasukan AMLA Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abdul Majid, mengesahkan tiada pegawai SPRM dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan itu.

+ - reset