Berita Berita
Wanita ditahan disyaki bakar sampah hingga api merebak rosak harta benda di Bachok
BACHOK 25 April - Seorang wanita ditahan polis selepas disyaki melakukan pembakaran sampah yang dipercayai mencetuskan kebakaran semak hingga merebak ke kawasan berhampiran sebuah rumah terbengkalai di Jalan Pantai Perkasa, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, api yang bermula di kawasan semak berhampiran rumah terbengkalai dilaporkan merebak sehingga menghampiri penempatan penduduk.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati, pengadu telah dimaklumkan oleh saksi bahawa kawasan semak dan rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai sedang terbakar.
Menurutnya, pengadu bersama beberapa saksi telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati api sedang marak dan merebak ke arah kawasan berhampiran rumahnya.
“Kebakaran tersebut bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh orang awam. Siasatan lanjut mendapati, ada kesan pembakaran sampah di atas tanah milik seorang wanita tempatan yang terletak bersebelahan kawasan kejadian.
“Berdasarkan keterangan saksi, suspek dilihat melakukan aktiviti pembakaran sampah di kawasan tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, kebakaran tersebut melibatkan kawasan lapang berdekatan rumah terbengkalai sehingga ke hadapan rumah pengadu.
Menurutnya, kebakaran itu turut menyebabkan tanaman termasuk beberapa barangan seperti pokok kelapa, rangka kereta jenis Proton Wira, kayu binaan dan pagar besi terbakar.
Tambahnya, wanita itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
