Berita Berita
Bilal Erdogan seru negara Islam contohi kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam
PUTRAJAYA 27 April - Negara-negara Islam disaran mencontohi kekuatan sektor kewangan Islam Malaysia bagi membangunkan sistem kewangan lebih berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada rangkaian Barat.
Ahli panel Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri Ke-11, Necmeddin Bilal Erdogan berkata, keupayaan Malaysia dalam bidang itu boleh dijadikan pelan praktikal untuk kerjasama serantau.
“Malaysia mempunyai kekuatan dalam kewangan Islam, yang boleh dipelajari oleh negara Islam lain serta dilaksanakan melalui kerjasama dalam membangunkan sistem kewangan supaya kita tidak bergantung kepada rangkaian kewangan Barat,” katanya.
Erdogan, yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun berkata dunia Islam masih terlalu terikat dan dibayangi oleh pengaruh lama Eropah dan Amerika Syarikat, justeru memerlukan keyakinan baharu dalam menghadapi perubahan global.
“Kita semua masih dibayangi pengaruh lama itu. Saya fikir kita boleh membina semula keyakinan diri berdasarkan perkembangan dunia semasa, dan ini akan merapatkan hubungan antara kita.
“Kini kita melihat bahawa tamadun Barat yang sebelum ini mendakwa membawa kestabilan, kemajuan, keamanan, kebebasan, demokrasi dan nilai liberal tidak lagi memberi keutamaan kepada nilai-nilai tersebut. Nilai itu hanya dianggap relevan selagi ia selari dengan kepentingan Barat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan institusi khususnya dalam bidang pendidikan, termasuk memperluas program pertukaran pelajar dan pensyarah antara Malaysia dan Turkiye.
“Jika kita melabur dalam mengeratkan hubungan pelajar sekolah menengah dan pelajar universiti supaya menjadi rakan, kita sebenarnya sedang membina sesuatu yang nyata dan bernilai untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna yang turut menjadi ahli panel berkata, negara-negara Islam perlu memperkukuh perdagangan dua hala serta membentuk blok perdagangan intra-Islam bagi mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan luar.
Beliau berkata integrasi ekonomi merupakan antara empat laluan ke arah perpaduan praktikal dunia Islam, selain kerjasama, kebebasan intelektual dan pakatan strategik.
Forum bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis” itu menampilkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai moderator.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
