Berita Berita
Krisis Adat Negeri Sembilan: Jalaluddin syor tubuh Jawatankuasa Khas Pendamai
SEREMBAN 27 April – UMNO Negeri Sembilan menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menangani krisis adat dan perlembagaan yang semakin meruncing dengan mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Pendamai.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jawatankuasa tersebut perlu dianggotai oleh pakar dalam bidang adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang bersifat neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Beliau yang juga EXCO Kanan Kerajaan Negeri menegaskan bahawa langkah ini bukan bertujuan untuk mencampuri urusan adat secara langsung, sebaliknya sebagai usaha mencari jalan penyelesaian mengikut saluran yang betul bagi mengelakkan rakyat terus tertanya-tanya.
"Perlu ada tindakan segera untuk menyelesaikan krisis ini. Saya berpandangan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana kita tidak mahu masyarakat membuat tafsiran sendiri akibat ketiadaan penjelasan daripada pihak sepatutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Krisis tersebut dilaporkan berada pada tahap serius sehingga memaksa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadualkan bermula hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan. Penangguhan itu berlaku meskipun istiadat pembukaan telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Khamis lalu.
Isu ini mula mencuri tumpuan susulan tindakan undang luak yang didakwa cuba menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz, manakala dalam masa yang sama, Undang Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak pula didakwa sudah dipecat daripada kedudukannya.
Sehubungan itu, Jalaluddin turut menyokong pandangan bekas Menteri Besar, Tan Sri Rais Yatim agar Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun segera memanggil semula Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bagi meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian tuntas demi kestabilan negeri.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
