Berita Berita
PAS desak siasatan bebas, audit forensik isu dana zakat di Perlis
SHAH ALAM 27 April - Parti Islam Se-Malaysia menggesa siasatan menyeluruh dan bebas termasuk audit forensik dilaksanakan segera bagi menangani kontroversi pengurusan dana zakat di Perlis yang menimbulkan kebimbangan awam.
Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkata, semua pihak yang didakwa terlibat perlu memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan berjalan telus.
Menurutnya, reformasi institusi yang lebih luas juga perlu dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan dana zakat, termasuk memperketat sistem pematuhan, memperjelas struktur tadbir urus serta memperkenalkan pemantauan berkala yang lebih rapi.
Tambah beliau, laporan tahunan dan pendedahan prestasi secara terbuka wajar dijadikan amalan standard supaya pembayar zakat serta masyarakat mengetahui kaedah pengurusan dan pengagihan dana.
"Pas percaya isu ini tidak wajar dipolitikkan, namun ia juga tidak boleh 'disapu ke bawah karpet'. Masyarakat awam berkehendakkan akauntabiliti, sementara Islam pula menuntut tahap amanah yang lebih tinggi.
"Kontroversi ini sepatutnya menjadi titik perubahan untuk memulihkan keyakinan rakyat dan memastikan institusi zakat di Malaysia diurus mengikut piawaian tertinggi dari segi integriti, profesionalisme serta ihsan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan zakat merupakan amanah suci yang perlu diurus dengan penuh integriti, ketelusan dan keadilan demi manfaat golongan asnaf.
Sehubungan itu, katanya, sebarang dakwaan penyelewengan, salah urus atau kelemahan tadbir urus sama ada melibatkan agensi negeri, individu atau pihak ketiga mesti ditangani secara jujur tanpa pilih kasih.
"Kontroversi ini pada asasnya isu tadbir urus dan integriti. Persoalan berhubung pengurusan dana zakat menuntut penjelasan yang meyakinkan serta akauntabiliti sewajarnya, termasuk di pihak kerajaan negeri.
"Kedua, ia juga menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan struktur dan sistem yang berkait rapat isu-isu tafsiran, kelulusan, pemantauan dan pengagihan dana zakat.
"Oleh sebab ia melibatkan dana awam, lebih-lebih lagi dana keagamaan yang besar jumlahnya, maka kawalan dalaman mestilah sentiasa kukuh dan tidak boleh dipertikai sama sekali," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mendakwa wujud percanggahan dan kekeliruan dari segi bidang kuasa, penguatkuasaan undang-undang serta akauntabiliti institusi berdasarkan kenyataan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Pejabat Mufti Negeri.
"Rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai peranan, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap agensi atau pihak berkuasa yang terlibat dalam pentadbiran zakat.
"Kepercayaan adalah asas kepada sistem zakat. Jika keyakinan merosot atau runtuh, mangsanya golongan miskin dan memerlukan yang bergantung pada bantuan.
"Isu ini juga membawa implikasi lebih besar terhadap kredibiliti kepimpinan, proses dan tanggungjawab institusi, ia mesti ditangani secara tegas dan profesional," tegasnya.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
