TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

14 ADUN UMNO tarik balik sokongan, hilang kepercayaan terhadap MB Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 27 April - Kedudukan kerajaan Negeri Sembilan berdepan ketidaktentuan apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO daripada Barisan Nasional mengumumkan menarik sokongan serta hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Krisis yang berlaku ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam terhadap kestabilan serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang media khas pagi ini.

Menurutnya, kepimpinan negeri sewajarnya bertindak dengan kebijaksanaan dalam mendepani situasi semasa bagi memastikan keyakinan rakyat tidak terus terhakis.

“Sehubungan itu, kesemua 14 Adun UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau,” katanya lagi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat serta negeri secara keseluruhan.

Jalaluddin menegaskan pihaknya kekal komited mempertahankan institusi adat, Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sebagai asas pentadbiran.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi menjamin kelangsungan pentadbiran negeri serta memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi.

“Kita mahukan kerajaan yang stabil supaya pentadbiran negeri dapat berjalan dengan berkesan dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, makluman rasmi berhubung pendirian itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri serta Setiausaha Dewan Undangan Negeri sejurus selepas sidang media berkenaan.

Perkembangan itu dijangka mencetuskan ketidaktentuan terhadap kedudukan kerajaan negeri ketika ini, termasuk kemungkinan berlaku perubahan pentadbiran sekiranya sokongan majoriti tidak lagi memihak kepada Menteri Besar. -MalaysiaGazette

+ - reset