Berita Berita
Tiga projek infrastruktur RM90 juta di Kuala Lumpur sasar kurangkan kesesakan trafik - Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR 27 April - Kerajaan mengumumkan pelaksanaan tiga projek pembangunan infrastruktur berimpak tinggi di ibu negara bagi menangani masalah kesesakan trafik yang berlarutan sekian lama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, projek berkenaan melibatkan tiga kawasan Parlimen iaitu Segambut, Seputeh dan Wangsa Maju, dengan anggaran kos keseluruhan sekitar RM90 juta.
Menurut beliau, usaha menyelesaikan isu trafik memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan persekutuan, sektor swasta serta pihak berkuasa tempatan.
“Di peringkat kerajaan persekutuan, kementerian seperti pengangkutan dan kerja raya memainkan peranan penting dalam aspek pengangkutan awam, pembinaan jalan raya dan lebuh raya.
“Selain itu, kementerian lain juga boleh menyumbang melalui dasar seperti pelaksanaan waktu kerja fleksibel dan bekerja dari rumah bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak,” katanya.
Beliau turut menjelaskan sektor swasta boleh menyokong inisiatif tersebut melalui program tertentu, antaranya kempen yang menggalakkan orang ramai keluar bekerja lebih awal bagi mengurangkan beban trafik.
Dalam pada itu, Hannah berkata tiga projek yang diumumkan adalah inisiatif kerajaan tempatan yang memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur di peringkat komuniti bagi membantu melancarkan aliran trafik setempat.
Katanya, pembiayaan projek berkenaan diperoleh daripada dana caj pembangunan di Wilayah Persekutuan, dan beliau telah mengarahkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengenal pasti lebih banyak projek seumpama itu yang memberi impak langsung kepada warga kota.
“Apabila masa di jalan raya dapat dikurangkan, tekanan kerja juga akan menurun dan rakyat dapat menjimatkan masa harian mereka. Itu sebabnya dana ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk kepentingan warga kota,” katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga projek tersebut telah dirancang sejak 2018 dan kini diteruskan bagi memastikan pelaksanaannya memberi kesan nyata kepada pengguna jalan raya, khususnya di kawasan berkepadatan tinggi seperti Mont Kiara dan sekitarnya.
Pelaksanaan projek itu dijangka mampu meningkatkan tahap perkhidmatan trafik daripada kategori rendah kepada lebih baik, sekali gus mengurangkan tempoh perjalanan harian penduduk di kawasan terlibat.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
