Berita Berita
Berita palsu ancam perpaduan negara, rakyat diseru amalkan tabayyun - Dr Zulkifli
KUALA LUMPUR 27 April - Penyebaran berita palsu dan fitnah dilihat semakin membimbangkan serta berpotensi menggugat kestabilan negara dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hassan berkata, walaupun Malaysia dikenali sebagai negara berbilang kaum yang berjaya mengekalkan perpaduan sejak pembentukannya pada 1963, cabaran baharu dalam era digital kini menguji kekuatan tersebut.
Menurut beliau, Malaysia yang dihuni masyarakat pelbagai etnik termasuk Melayu, Cina, India dan peribumi Borneo telah lama menjadi contoh negara Muslim multietnik yang berjaya mengurus kepelbagaian dengan harmoni.
“Namun, keharmonian ini bukan sesuatu yang boleh diambil mudah kerana ia menuntut kebijaksanaan rakyat dalam menerima realiti kemajmukan serta menghormati hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang menyentuh ancaman berita palsu terhadap kestabilan negara, termasuk dakwaan tidak berasas berkaitan isu ekonomi dan kos sara hidup yang dikaitkan dengan pentadbiran Kerajaan MADANI.
Tambahnya, spekulasi seperti tuduhan penyeludupan ratusan ribu tong diesel ke luar negara turut disebarkan tanpa asas kukuh, sekali gus mencalarkan imej negara dan institusi berkaitan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan ekonomi domestik kekal terkawal di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, termasuk melalui pelaksanaan subsidi bersasar serta pengekalan harga RON95 pada RM1.99 seliter.
Katanya, laporan antarabangsa turut menunjukkan kedudukan ekonomi negara yang stabil, termasuk pertumbuhan ekonomi yang mencatatkan peningkatan kepada 4.4 peratus.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan ratusan kandungan berita palsu merangkumi isu bahan api, tarif elektrik dan dakwaan bayaran tol kepada negara asing.
“Perkembangan ini amat membimbangkan kerana fitnah terancang boleh meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi berautoriti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa merujuk kepada sumber sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak disahkan, dengan mengambil iktibar daripada insiden di luar negara yang berpunca daripada penyebaran maklumat palsu.
Dalam konteks Islam, beliau menegaskan kepentingan konsep tabayyun iaitu menyelidik kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya, sebagaimana yang digariskan dalam Surah al-Hujurat ayat 6.
Katanya, prinsip itu membentuk disiplin intelektual yang menuntut penelitian kritis terhadap maklumat, khususnya dalam era digital yang dipenuhi lambakan informasi.
Beliau turut merujuk pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menyatakan bahawa krisis utama umat berpunca daripada kekeliruan ilmu akibat kehilangan adab, sekali gus membuka ruang kepada penyebaran kepalsuan.
“Penyebaran berita palsu bukan sekadar kesilapan teknikal, tetapi mencerminkan krisis ilmu yang lebih mendalam,” katanya.
Tambah beliau, dalam kerangka Maqasid Syariah, penyebaran maklumat palsu boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan masyarakat serta meruntuhkan kepercayaan antara kaum dan agama.
Justeru, beliau menegaskan bahawa menyebarkan maklumat sahih adalah tanggungjawab moral dan tuntutan akidah, manakala penyebaran fitnah pula membawa implikasi dosa berpanjangan.
“Budaya integriti maklumat perlu diperkukuh demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara berlandaskan kebenaran dan keadilan,” katanya.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
