TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PN sedia kerjasama bentuk kerajaan Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 27 April - Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kestabilan politik serta kelangsungan pentadbiran negeri.

Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, langkah itu diambil demi menjamin pembangunan negeri tidak terjejas serta kebajikan rakyat terus terpelihara.

Menurut beliau, pihaknya mengikuti rapat perkembangan krisis kepimpinan kerajaan negeri yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu dan menyifatkan situasi berkenaan memberi kesan kepada keberkesanan pentadbiran.

“Kami mewakili rakyat Negeri Sembilan berasa kesal kerana krisis ini menjejaskan perjalanan pentadbiran sehingga Sidang Dewan Undangan Negeri terpaksa ditangguhkan tanpa tarikh baharu,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau turut mendakwa keadaan tersebut mencerminkan kegagalan Menteri Besar, Aminuddin Harun, dalam menangani krisis secara bertanggungjawab.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Hanifah menegaskan lima ADUN PN kekal komited meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap keputusan politik.

Pada sidang akhbar itu, beliau turut menyerahkan surat tawaran kerjasama kepada wakil UMNO negeri, Mustapha Nagoor yang juga ADUN Palong.

Terdahulu, krisis politik Negeri Sembilan semakin meruncing apabila 14 ADUN BN dilaporkan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada.

+ - reset