TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nasib Syed Saddiq dipenjara tujuh tahun atau bebas diketahui 30 Jun ini

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 27 April - Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Jun ini bagi memutuskan sama ada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal bebas atau dikenakan hukuman penjara atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin mengesahkan tarikh tersebut ketika dihubungi media, susulan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 11 Disember lalu, panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais telah mendengar hujahan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas Ketua Armada Bersatu itu.

Panel berkenaan turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah.

Kes itu berkait dengan sabitan terdahulu terhadap Syed Saddiq yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan melibatkan dana Armada.

Bagaimanapun, pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya dan melepaskan serta membebaskannya daripada sabitan dan hukuman tersebut.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin yang memutuskan bahawa arahan mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan dana.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, Penolong Bendahari Armada Bersatu ketika itu, dalam melakukan pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM1 juta.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 30 Jun ini dijangka menjadi penentu muktamad terhadap kes berprofil tinggi berkenaan.

+ - reset