Berita Berita
Ahmad Zahid bakal bincang krisis Negeri Sembilan dengan PM
KUALA LUMPUR 27 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi membincangkan kemelut politik yang melanda Kerajaan Negeri Sembilan.
Pertemuan tersebut bertujuan meneliti tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang secara sebulat suara menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, hari ini.
"Saya perlu bertemu (Anwar) dan beliau perlu bertemu saya. Kepimpinan UMNO dan BN di peringkat nasional akan meneliti keputusan tersebut serta implikasi politik yang mungkin timbul," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan editor media di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk bertemu kesemua 14 ADUN terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut sebelum perkara itu dibawa ke mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO untuk diputuskan.
Menyentuh mengenai kedudukan kerajaan negeri, Aminuddin dalam sidang media berasingan memaklumkan beliau telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk terus menjalankan tanggungjawab mentadbir negeri seperti biasa.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa krisis tersebut perlu dilihat dalam konteks sistem adat yang diamalkan di negeri berkenaan, namun menegaskan kepimpinan pusat akan menilai kesan tindakan itu terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mengulas kesediaan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri baharu, dengan menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah politik di mana pelbagai pihak sentiasa mencari ruang untuk kelangsungan masing-masing.
Berita berkaitan
April 27, 2026, 8:55 pm
UMNO-BN, PN Negeri Sembilan umum bentuk kerjasama, peroleh majoriti mudah
April 27, 2026, 3:35 pm
Nasib Syed Saddiq dipenjara tujuh tahun atau bebas diketahui 30 Jun ini
April 27, 2026, 3:01 pm
Menteri Agama gesa henti spekulasi isu azan di Ampang
April 27, 2026, 3:01 pm
Pegawai penyiasat didapati cuai, penganggur dibebas tuduhan amang seksual kanak-kanak
April 27, 2026, 2:56 pm
Aktivis tuntut penjelasan isu penguat kuasa iring konvoi kereta mewah
April 27, 2026, 2:51 pm
