TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kamu dah kena game, lawanlah sikit' – Isham Jalil cabar kerajaan Negeri Sembilan bubar DUN, uji mandat rakyat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 April - Bekas pemimpin UMNO, Isham Jalil, mencetuskan polemik baharu apabila secara terbuka menggesa kepimpinan negara dan kerajaan Negeri Sembilan supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Isham secara langsung menyasarkan beberapa pemimpin politik utama termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

“Amin, pergi pujuk YDB dan empat Undang untuk bubar DUN. Buat PRN dan kembalikan mandat kepada rakyat. Baru gentle. Kamu dah kena game. Lawanlah sikit,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar PRU dan PRN diadakan serentak bagi menjimatkan kos, sambil menyindir bahawa Perdana Menteri tidak akan berani melaksanakan cadangan tersebut.

“Anwar, bubar sekali semualah untuk PRU dan PRN serentak dengan Negeri Sembilan sekarang. Jimat kos. (Confirm kamu tak berani),” katanya.

Isham juga menyindir Anthony Loke dengan dakwaan bahawa pemimpin DAP itu tidak memberi tumpuan kepada isu besar negara.

Gesaan Isham itu hadir ketika Negeri Sembilan sedang berdepan ketidaktentuan politik susulan krisis kepercayaan melibatkan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Laporan media menyebut sekurang-kurangnya 14 ADUN Barisan Nasional (BN) telah menarik sokongan terhadap Menteri Besar, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kestabilan kerajaan negeri ketika ini.

Perkembangan itu turut membuka dua kemungkinan utama dari sudut perlembagaan negeri iaitu pelantikan Menteri Besar baharu atau pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri semula.

Dalam masa sama, Negeri Sembilan turut berdepan ketegangan berasingan melibatkan institusi adat selepas beberapa Undang dilaporkan terlibat dalam pertikaian berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar negeri, yang menambah lagi tekanan terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negeri. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa isu berkaitan Negeri Sembilan perlu ditangani mengikut perundangan dan kebijaksanaan negeri, tanpa campur tangan luar secara berlebihan. 

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi mengenai pembubaran DUN Negeri Sembilan, manakala pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa sementara pelbagai rundingan politik dan institusi dijangka terus berlangsung bagi menentukan hala tuju seterusnya.

 

+ - reset