Berita Berita
UMNO-BN, PN Negeri Sembilan umum bentuk kerjasama, peroleh majoriti mudah
KUALA LUMPUR 27 April – Teka-teki mengenai hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan terjawab malam ini apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) mengumumkan telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu melalui kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Langkah luar biasa itu dicapai selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN menyatakan sokongan padu kepada BN, sekali gus memberikan gabungan baharu itu jumlah 19 kerusi, melebihi syarat majoriti mudah 19 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam satu kenyataan malam ini, UMNO-BN Negeri Sembilan menegaskan kesediaan mereka untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi menjamin kelangsungan pentadbiran dan kestabilan negeri yang kini sedang berdepan krisis perlembagaan dan adat.
”Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian. Kami berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera,” menurut kenyataan tersebut.
Terdahulu, ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Bakar mengesahkan beliau bersama empat rakan sejawatnya daripada PN sedia bekerjasama dengan 14 ADUN BN bagi menamatkan kemelut yang mengakibatkan sidang DUN terpaksa ditangguhkan pagi tadi.
Kerjasama mengejut ini menyusul selepas 14 ADUN BN secara sebulat suara menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH) pada sebelah petang.
Dengan perkembangan terbaharu ini, tumpuan kini terarah kepada prosedur pelantikan pentadbiran baharu mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Berita berkaitan
April 27, 2026, 8:49 pm
Ahmad Zahid bakal bincang krisis Negeri Sembilan dengan PM
April 27, 2026, 3:35 pm
Nasib Syed Saddiq dipenjara tujuh tahun atau bebas diketahui 30 Jun ini
April 27, 2026, 3:01 pm
Menteri Agama gesa henti spekulasi isu azan di Ampang
April 27, 2026, 3:01 pm
Pegawai penyiasat didapati cuai, penganggur dibebas tuduhan amang seksual kanak-kanak
April 27, 2026, 2:56 pm
Aktivis tuntut penjelasan isu penguat kuasa iring konvoi kereta mewah
April 27, 2026, 2:51 pm
