TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UMNO nafi berpakat dengan PN, dakwa tiada niat jatuhkan MB Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 28 April - UMNO Negeri Sembilan menafikan dakwaan wujud pakatan awal dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional untuk menjatuhkan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Pengerusinya, Jalaluddin Alias berkata, jika benar terdapat perancangan sedemikian, tindakan itu sudah dilakukan lebih awal dan bukan hanya pada masa ini.

"Kita tidak ada niat untuk menjatuhkan Menteri Besar dan kita tidak jadikan penangguhan persidangan DUN sebagai sebab untuk kita tarik sokongan.

"Jangan 'pusing' ke situ. Kalau Anthony Loke Siew Fook kata kita tebuk atap, dari dulu lagi kita dah tebuk kerana kita ada 14 kerusi dan jika campur lima dah jadi 19," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurutnya, tiada alasan untuk UMNO bertindak demikian memandangkan parti itu kini berada dalam kerajaan.

Malah, katanya, UMNO sanggup kehilangan kuasa demi mempertahankan prinsip perjuangan parti.

"Tebuk atap maknanya daripada jadi pembangkang nak jadi kerajaan dan sekarang ini kita berada dalam kerajaan.

"Saya Exco Kanan dan ada tiga lagi Exco UMNO-BN, kesemua 14 ADUN BN. Jadi tiada alasan untuk kata kita tebuk atap kerana sekarang kita sanggup hilang kuasa berada dalam kerajaan demi mempertahankan prinsip perjuangan parti UMNO," katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah antara langkah terbaik bagi mendapatkan mandat baharu rakyat dan memulihkan kestabilan pentadbiran negeri.

Bagaimanapun, katanya, keputusan lanjut bergantung kepada perkenan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaras dengan peruntukan Perlembagaan negeri.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan susulan akan diambil, namun menegaskan UMNO akan mematuhi proses perundangan dan perlembagaan dalam setiap langkah yang dibuat.

+ - reset