Berita Berita
KPM perkenal program mentor menti, lahirkan generasi baharu sasterawan
PUTRAJAYA 28 April - Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperkenalkan program mentor menti yang diselia Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memperkukuh pembangunan bakat penulis muda serta memastikan kesinambungan ekosistem sastera negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, program itu akan diselia secara langsung oleh Sasterawan Negara serta tokoh yang diiktiraf atas sumbangan karya unggul kepada masyarakat.
Katanya, inisiatif berkenaan bukan sekadar latihan, sebaliknya usaha tersusun bagi membina bakat sejak peringkat awal ke arah melahirkan generasi pelapis sasterawan negara.
"Justeru, usaha membina dan menggilap sasterawan yang berpotensi diangkat sebagai Sasterawan Negara perlu dilaksanakan secara berterusan serta konsisten.
"Dalam konteks ini, DBP berperanan sebagai institusi teras yang menyediakan ekosistem dan laluan yang jelas ke arah pembinaan Sasterawan Negara.
"Laluan ini bermula sejak di bangku sekolah melalui galakan membaca dan menulis, pertandingan, bengkel asas serta program pengayaan sastera yang menyemai minat serta mencungkil bakat sejak usia muda.
"Usaha ini kemudian diperkukuh melalui bengkel lanjutan, klinik penulisan dan bimbingan bersama penulis mapan termasuk Sasterawan Negara yang membentuk kemahiran, disiplin serta jati diri penulis muda," katanya pada sidang media selepas menobatkan Mana Sikana atau Dr Abd Rahman Napiah sebagai Sasterawan Negara ke-16, di kementeriannya, hari ini.
Turut hadir, Anwar Ridhwan dan Hazami Jahari.
Program mentor menti itu dijangka memberi fokus kepada pelajar sekolah dan institut pendidikan guru (IPG) dengan karya Sasterawan Negara terus diperluas penggunaannya dalam sistem pendidikan.
"Paling penting, karya ini mesti terus hidup dalam masyarakat. Program ini menjadi landasan untuk memastikan kesinambungan itu berlaku secara terancang," katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Sasterawan Negara bukan sahaja dinilai melalui karya berkualiti tinggi, malah keupayaan mereka membaca realiti sosial serta menyuarakan isu masyarakat menjadikan mereka mentor terbaik kepada generasi baharu.
Mengambil contoh tokoh terdahulu seperti Usman Awang dan Shahnon Ahmad, beliau berkata, ketajaman mereka dalam mengangkat isu sosial, ekonomi dan pendidikan perlu diwarisi penulis muda.
"Pemerhatian sosial mereka sangat dekat dengan masyarakat. Mereka bukan sekadar penulis, tetapi suara kepada rakyat," katanya.
Pada masa sama, beliau turut membangkitkan keperluan menilai semula mekanisme pengiktirafan Sasterawan Negara agar tidak hanya diberikan pada penghujung usia, sebaliknya ketika tokoh masih aktif menghasilkan karya.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pengiktirafan lebih relevan serta mampu menyuntik motivasi kepada penulis untuk terus berkarya secara konsisten.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
