TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mana Sikana dinobat Sasterawan Negara Ke-16

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 28 April -  Sarjana dan pemikir sastera tanah air, Mana Sikana atau Abdul Rahman Napiah diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) Ke-16, sekali gus diangkat sebagai Sasterawan Negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan ketokohan beliau sebagai penulis prolifik yang konsisten menghasilkan karya kreatif bermutu tinggi sepanjang kerjaya.

Katanya, anugerah berprestij itu bukan sahaja mengiktiraf keunggulan karya, malah menilai kekuatan pemikiran, nilai yang diperjuangkan serta sumbangan tokoh dalam membina tradisi ilmu dan budaya bangsa.

"Sehubungan dengan itu, panel penilai telah memutuskan bahawa Mana Sikana atau Abdul Rahman Napiah dipilih sebagai Penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16, sekali gus dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.

"Pemilihan ini dibuat berdasarkan ketokohan beliau sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi sepanjang kerjayanya," katanya pada sidang media di kementeriannya, hari ini.

Menurut beliau, sumbangan Mana Sikana merangkumi pelbagai genre termasuk cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis serta kepekaan terhadap realiti sosial.

Katanya, karya tokoh itu turut menampilkan pendekatan berani dan inovatif yang memperkayakan estetika kesusasteraan Melayu moden.

Fadhlina berkata, perjalanan penulisan Mana Sikana bermula seawal usia 18 tahun melalui cerpen yang disiarkan di akhbar sebelum berkembang menghasilkan ratusan karya serta memperkenalkan pendekatan naratif dan falsafah tersendiri.

Beliau berkata, dalam bidang novel, karya seperti Ronjang, Klimaks, Kesesatan dan Syajar membawa pembaharuan dari segi struktur dan teknik penulisan, manakala dalam drama, tokoh itu turut memperkenalkan pendekatan avant-garde dan absurd dalam teater Melayu moden.

Selain karya kreatif, katanya, Mana Sikana juga menyumbang secara signifikan dalam bidang kritikan sastera serta pembangunan teori termasuk Teori Teksdealisme dan Teori Taabudiyah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan penerima ASN dilaksanakan secara teliti berdasarkan sumbangan karya, pemikiran, peranan dalam pengembangan sastera serta impak kepada masyarakat.

Katanya, proses penilaian dibuat secara telus dan berintegriti oleh panel yang dilantik.

Fadhlina berkata, meskipun Mana Sikana telah meninggal dunia selepas keputusan pemilihan dimuktamadkan, pengiktirafan tetap diberikan berdasarkan sumbangan sepanjang hayatnya.

"Walaupun jasad tokoh telah tiada, karya dan pemikiran yang ditinggalkan akan terus hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat serta generasi akan datang sebagai khazanah ilmu dan budaya bangsa," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meluluskan pindaan tatacara bagi membolehkan tokoh yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian tetap layak dipertimbangkan.

Sebagai penerima ASN Ke-16, waris tokoh akan menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000 serta penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah untuk diedarkan kepada institusi pendidikan dan agensi kerajaan.

Majlis penganugerahan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan kerajaan komited memperkukuh pembangunan bakat sastera melalui Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai institusi teras.

Katanya, usaha membina penulis bermula sejak di bangku sekolah melalui pelbagai program termasuk galakan membaca, bengkel penulisan dan sayembara sastera.

"Justeru, usaha membina dan menggilap sasterawan yang berpotensi diangkat sebagai Sasterawan Negara perlu dilaksanakan secara berterusan dan konsisten.

"Dalam konteks ini, DBP berperanan sebagai institusi teras yang menyediakan ekosistem serta laluan yang jelas ke arah pembinaan Sasterawan Negara," katanya.

Beliau berkata, ekosistem tersusun itu penting bagi melahirkan generasi penulis yang mampu mengangkat kesusasteraan Melayu sebagai wahana pemikiran, pembinaan jati diri dan pemangkin tamadun bangsa.

+ - reset